Selasa, 28 November 2023 | 3:57pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

SKMM sekat 78 laman sesawang, turunkan 386 kandungan media sosial terbabit kes penipuan pelaburan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses 78 laman sesawang dan menurunkan 386 kandungan media sosial yang dikenal pasti terbabit dalam penipuan skim pelaburan, sepanjang tahun ini hingga 15 November lalu.

SKMM berkata, tindakan sekatan akses ke atas 78 laman sesawang itu dilakukan atas permohonan rasmi daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Katanya, sebarang kegiatan membabitkan penipuan skim pelaburan tertakluk di bawah bidang kuasa SC dan SKMM menyediakan bantuan daripada segi teknikal untuk membantu siasatan.

"Perundangan sedia ada seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 1499] digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti penipuan skim pelaburan.

"SKMM berperanan menghulurkan bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital dan pelaksanaan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa termasuk pihak SC dan mengikut keperluan," katanya dalam kenyataan kepada BH, hari ini.

Sementara itu, dalam tempoh sama, SKMM menurunkan 386 kandungan berkaitan penipuan skim pelaburan di media sosial dengan kerjasama penyedia perkhidmatan platform media sosial.

Tindakan itu, katanya berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa berkenaan serta aduan yang diterima.

"Tahap kesedaran orang ramai berhubung gejala penipuan amnya dan penipuan skim pelaburan khususnya, perlu terus dipertingkat supaya orang ramai tidak terjebak dan menjadi mangsa.

"Usaha bagi memupuk kesedaran ini akan terus digerakkan pihak kerajaan melalui pelbagai agensi terbabit supaya gejala ini dapat dibendung," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai keraguan atau menjadi mangsa aktiviti penipuan disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk pertanyaan dan laporan.

BH sebelum ini mengupas mengenai tawaran dan iklan pelbagai skim pelaburan meragukan yang dilihat berleluasa di media sosial dengan kebanyakannya menawarkan pulangan berganda dalam tempoh beberapa jam saja.

Mereka dilihat semakin berani menawarkan skim yang meragukan itu dengan kebanyakan iklan menawarkan pelaburan saham berasaskan patuh syariah.

Sikap tamak mencari keuntungan besar dalam masa singkat dan jahil mengenai isu semasa menjadi antara punca ramai rakyat negara ini terjebak dengan penipuan skim pelaburan sedemikian.

Walaupun sudah kerap didedahkan mengenai risiko mengenai skim pelaburan tidak sah, namun masih ramai tidak ambil peduli hingga menjadi mangsa penipuan.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1,671 kes penipuan berkaitan pelaburan direkodkan pada 2020 membabitkan kerugian RM182.27 juta dan pada 2021, angka kes meningkat kepada 3,195 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM245.05 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dilaporkan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 3,266 kes direkodkan dengan kerugian berjumlah RM219.83 juta.

Bagi tempoh 10 bulan tahun ini, katanya, sebanyak 4,435 kertas siasatan kes penipuan pelaburan dibuka membabitkan nilai kerugian RM364.5 juta.

Ramli berkata, secara purata 15 kes penipuan skim pelaburan atau pelaburan tidak wujud, disiasat JSJK setiap hari.

Jumlah aduan penipuan pelaburan atau scam diterima SC pada tempoh sembilan bulan tahun ini mencatatkan peningkatan ketara kepada 2,873 aduan.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, dilaporkan berkata, jumlah itu juga lebih tinggi berbanding aduan mengenai penipuan diterima sepanjang 2022 dengan 2,461 aduan.

Katanya, SC menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti SKMM bagi melaksanakan pelbagai langkah membasmi sindiket penipuan itu.

Sehingga Oktober lalu, SC memulakan empat tindakan penguatkuasaan terhadap kes aktiviti tidak berlesen, selain menyenaraikan 274 penyertaan baharu dalam Senarai Peringatan Pelabur dan menyekat 128 laman web, 113 akaun Telegram, 78 akaun Facebook dan 10 akaun Instagram.

Berita Harian X