Selasa, 28 November 2023 | 2:51pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menerima pokok Belian (Eusideroxylon zwageri) daripada Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad pada Majlis Perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor di iCity, hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menerima pokok Belian (Eusideroxylon zwageri) daripada Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad pada Majlis Perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor di iCity, hari ini.

Selangor rancang 'trail' 120km dari Hulu Selangor ke Hulu Langat

SHAH ALAM: Kerajaan negeri merancang mewujudkan 'trail' (laluan) sepanjang 120 kilometer merentasi Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Selangor ke Hulu Langat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia sebahagian perancangan menjadikan 26 kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang diisytihar sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor sebagai tarikan pelancong terutama penggemar aktiviti lasak seperti mendaki serta merentas hutan.

Bagaimanapun katanya, kemasukan orang awam ke kawasan hutan yang diwartakan itu akan dikawal bagi memastikan kualiti biodeversiti terpelihara.

"Menariknya, jalan yang disusun atur oleh Jabatan Perhutanan Selangor sejauh 120km dan kalau itu betul-betul dibuat, ia akan menjadi antara tarikan pelancongan terutama mereka yang sangat rapat aktiviti merentas hutan dan mendaki.

"Itu boleh menjadi produk (pelancongan) pada masa depan, tetapi sudah pasti kena kawal jumlah kemasukannya kerana ia akan memberi impak terus terhadap kualiti hutan, kalau kita benarkan terlalu ramai masuk (hutan) ia akan kurang kawalan kebersihan, penjagaan, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan 108,000 hektar membabitkan 26 kawasan HSK sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor.

Perisytiharan itu dibuat bagi menjadikan kesemua kawasan HSK di bawah Hutan Taman Negeri itu dijadikan hutan yang merangkumi aspek-aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri akan memudahkan pendaftaran dan kawalan kemasukan ke kawasan HSK sebagai usaha memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan hutan.

"Semalam, saya berada di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) yang mana sekarang untuk masuk, anda boleh daftar melalui aplikasi tanpa perlu beratur di kaunter. Boleh juga beratur tetapi lebih baik dengan aplikasi sebab boleh kawal jumlah pengunjung naik dan turun (keluar dan masuk).

"Kita turut menjalin kerjasama dengan Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) Telekom Malaysia (TM) bagi membangunkan perisian untuk memantau aktiviti dalam hutan," katanya.

Berita Harian X