Selasa, 28 November 2023 | 12:10pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. - Foto BH
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. - Foto BH

Wahab saksi penting, Bukit Aman tetap tarikh baharu rakam keterangan

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan menetapkan tarikh baharu bagi merakam keterangan Wahab atau nama penuhnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang terbabit dalam video perbualan jelik bersama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya sudah pun berhubung dengan Pegawai J-KOM itu melalui peguamnya bagi menetapkan tarikh bersesuaian.

"Kita (polis) sudah berhubung dengan Wahab melalui peguamnya, kita akan menetapkan satu tarikh lain bagi mengambil keterangan beliau," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, peguam Wahab, Faizal Rahman dilaporkan berkata anak guamnya akan memberi keterangan kepada pihak polis dalam masa terdekat ini.

Faizal berkata, proses rakam keterangan ke atas Wahab pada awalnya dijadualkan berlangsung Sabtu lalu, namun ia ditangguh atas faktor kesihatan.

Difahamkan, Wahab mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan.

Tambah Farizal, kenyataan polis berhubung kegagalan mereka mengesan Wahab adalah salah faham dan pihaknya menjadualkan semula pertemuan dengan polis bagi memberi keterangan diperlukan.

Dalam pada itu, Razarudin berkata pihak polis tiada keperluan mengeluarkan waran tangkap terhadap Wahab.

Menurutnya, pegawai J-KOM itu hanya saksi penting untuk membantu siasatan polis berhubung siasatan video rakaman video perbualan berbaur lucah membabitkan beliau dengan Ketua Pengarah J-KOM.

Katanya, Abdul Wahab juga masih berada dalam negara.

Berita Harian X