Selasa, 28 November 2023 | 12:07pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

Wahab saksi penting, tarikh baharu rakam keterangan - Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang menetapkan tarikh baharu bagi merakam keterangan Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya sudah berhubung dengan Abdul Wahab melalui peguamnya bagi menetapkan tarikh bersesuaian.

"Kita (polis) sudah berhubung dengan Abdul Wahab melalui peguamnya, kita akan menetapkan satu tarikh lain bagi mengambil keterangan beliau," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, peguam Abdul Wahab, Faizal Rahman dilaporkan berkata anak guamnya akan memberi keterangan kepada pihak polis dalam masa terdekat ini.

Faizal berkata, proses rakam keterangan ke atas Abdul Wahab pada awalnya dijadualkan berlangsung Sabtu lalu namun atas faktor kesihatan, proses itu tertangguh.

Difahamkan, Abdul Wahab mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan.

Farizal berkata kenyataan polis berhubung kegagalan mereka mengesan Abdul Wahab adalah salah faham dan pihaknya menjadualkan semula pertemuan dengan polis bagi memberi keterangan diperlukan.

Dalam pada itu, Razarudin berkata polis tiada keperluan mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Wahab.

Menurutnya, pegawai J-KOM itu hanya saksi penting untuk membantu siasatan polis berhubung video rakaman video perbualan berbaur lucah membabitkan beliau dengan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Katanya, Abdul Wahab juga masih berada dalam negara.

Berita Harian X