Selasa, 28 November 2023 | 11:39am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

KADA usaha atasi bekalan air dihadapi pesawah

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengambil beberapa langkah jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi pesawah termasuk membina rumah pam Kemubu 3 dan empangan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail turut mengakui masalah bekalan air sering berlaku terutama ketika musim kemarau.

Susulan itu, katanya, langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah berkenaan adalah membina rumah pam Kemubu 3, membina empangan rendah dan membina rumah pam kitar semula.

"Pembinaan rumah pam Kemubu 3 bagi membolehkan air dipam di bawah paras satu meter dan pembinaan dijangka siap pada 2025.

"Pembinaan empangan rendah pula bagi meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya Rumah Pam Kasa dan Rumah Pam Lemal yang membekalkan air ke kawasan KADA tebing barat dapat beroperasi terutama pada musim kemarau dijangka siap 2026.

"Bagi rumah pam kitar semula yang dijangka siap 2025, ia bagi membolehkan air dipam di sungai berdekatan," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Saizol Ismail (PAS-Salor) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Saripudin berkata, tindakan jangka pendek adalah membekalkan 'backword pump' dan telaga tiub kepada petani.

"Untuk tahun ini, KADA sudah menyediakan peruntukan RM98,700 untuk bekalan 96 'backward pump' dan peruntukan RM291,929 untuk pembinaan 91 telaga tiub termasuk keperluan lain yang berkaitan bagi memberi kemudahan kepada petani mendapatkan sumber bekalan air ketika musim kemarau.

"Pada masa sama, KADA menggerakkan pam mudah alih. Pihak KADA mempunyai aset pam mudah alih dalam pelbagai kapasiti dan akan digerakkan ke kawasan bermasalah untuk mendapatkan bekalan air terutama di penghujung sistem pengairan," katanya.

Berita Harian X