Isnin, 27 November 2023 | 10:09pm
Foto hiasan
Foto hiasan

ADUN PH cadang kaji semula sekatan lesen baharu premis urut di Kedah

ALOR SETAR: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menyarankan Kerajaan Kedah mengkaji semula sekatan lesen baharu bagi premis yang menawarkan khidmat mengurut di negeri ini.

Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) ketika mengemukakan cadangan itu berpendapat bahawa penamatan pengeluaran lesen baharu kepada premis terbabit, akan memberi kesan negatif kepada program 'Mai Singgah Alor Setar 2024' anjuran kerajaan negeri.

"Sekarang Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) sibuk promosi gaya hidup jalan kaki dalam bandar. Apabila kaki letih atau sakit, nak urut di mana? Takkan nak ke Thailand?

"Apabila cakap fasal urut, kepala kita asyik fikir kegiatan tidak bermoral atau 'servis tambahan'. Jika begitu, sampai bila kita boleh membangunkan industri urutan tradisional dan pelancongan Kedah?

"Maka, dimohon kerajaan negeri mengkaji balik sekatan lesen baharu (premis) urut ini. Lokasi seperti kompleks perdagangan, kompleks beli-belah dan kedai pejabat patut dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Kedah 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, sebelum pembubaran DUN, media melaporkan kerajaan negeri memberi amaran tidak akan menyambung lesen premis refleksologi di Kedah, sekiranya ia didapati disalahgunakan untuk kegiatan tidak bermoral.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipetik berkata, terdapat laporan berlaku kegiatan melanggar lesen yang diluluskan, termasuk membabitkan pelajar di premis berselindung di sebalik nama pusat refleksologi.

Susulan itu, terdapat pemakluman dikeluarkan pihak berkuasa tempatan pada Oktober lalu bahawa pihak MBAS tidak lagi mengeluarkan lesen baharu bagi rumah urut.

Berita Harian X