Isnin, 27 November 2023 | 5:30pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

5.3 juta akses pelantar DELIMa bagi pembelajaran dalam talian

KUALA LUMPUR: Sebanyak 85 peratus atau 4.1 juta murid telah mengakses pelantar 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa) bagi tujuan pembelajaran dalam talian, setakat 9 November lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata pelantar DELIMa juga diakses 99.5 peratus atau 420,000 guru dalam tempoh sama.

"Hingga kini, seramai 5.3 juta pengguna pelbagai peringkat terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah; pelajar lepasan menengah iaitu Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional; pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG); guru; pensyarah dan pemimpin pendidikan dapat mengakses DELIMa pada bila-bila masa di mana saja," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah mengenai pelaksanaan serta hasil pendekatan dasar pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital bagi memastikan generasi baharu adalah celik digital.

Hui Ying berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD), esok, untuk memastikan transformasi pendidikan berada dalam landasan tepat ke arah melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada September lalu berkata, DPD akan diluncur bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. – BERNAMA

Berita Harian X