Isnin, 27 November 2023 | 5:13pm
Isnaraissah Munirah Majilis. - Foto fail NSTP
Isnaraissah Munirah Majilis. - Foto fail NSTP

Kecewa projek sekolah daif di Sabah tak diurus dengan baik

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen menyuarakan kekecewaan berikutan terlalu banyak isu berkaitan kemudahan sekolah di Sabah, terutama sekolah daif yang terbengkalai selama bertahun-tahun dan belum selesai sehingga sekarang.

Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) mempersoalkan mengapa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil masa terlalu lama antaranya membabitkan permohonan merobohkan 22 bangunan sekolah daif di negeri itu.

"Mengenai permohonan meroboh bangunan daif bagi 22 bangunan sekolah di Sabah yang dalam peringkat pra pembinaan, (sehingga kini) KPM masih belum mengemukakannya kepada Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR).

"KPM mengambil masa di antara 637 hingga 1,043 hari, 34 bulan, 8 hari untuk mengemukakan permohonan meroboh kepada kepada KPKR.

"Selanjutnya KPKR ambil masa antara 15 hingga 48 hari untuk beri kelulusan meroboh selepas permohonan diterima. Tuan pengerusi apa ini? projek sudah lulus, tetapi ambil masa tiga tahun untuk dihantar permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Ambil masa tiga tahun, lambat!," katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) Peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada KPM mengambil serius terhadap keselamatan murid di sekolah daif yang setiap hari berdepan risiko keselamatan kerana terpaksa menggunakan kemudahan uzur.

Beliau dalam nada keras turut menyuarakan kekecewaan susulan ada projek sekolah di Kota Belud yang dikategorikan sebagai 'projek sakit' masih terbengkalai sehingga hari ini.

"Seperti asrama di Sekolah Kebangsaan Tengkurus, Kota Belud, ia masih belum siap dan tidak dapat digunakan murid.

"(Ia berlarutan), walaupun proses tender semula sudah dibuat dan kontraktor baharu dilantik. Sepatutnya sudah boleh digunakan pada 2022. Berapa tahun nak siapkan? Mahu tunggu Pilihan Raya Negeri?," katanya yang turut bertanya mengenai status 155 projek naik taraf bangunan dan sekolah daif yang akan dilaksanakan pada 2024 sama ada projek baharu atau sambungan membabitkan projek sedia ada.

Isnaraissah turut bertanya sama ada KPM hanya mengambil tindakan jika ia tular di media sosial.

"Sebagaimana kisah 'viral' seorang guru yang sanggup tinggal di stor lebih tiga tahun. Takkan nak tunggu viral baru nak urus dan beri peruntukan. Inikah modus operandi (KPM)? Bila viral, baru urus," katanya.

Berita Harian X