Isnin, 27 November 2023 | 4:52pm

Pindaan Akta SUHAKAM wajib wakil OKU, 30 peratus wanita dilantik anggota

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) (Pindaan) 2023 memperuntukkan sekurang-kurangnya seorang wakil orang kurang upaya (OKU) dan 30 peratus wanita dilantik sebagai anggotanya.

Pada sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Dr Punitha Silivarajoo, berkata perkara itu digariskan di bawah Seksyen 5(3A) RUU SUHAKAM 2023.

Beliau berkata, Seksyen 5 (3B) RUU SUHAKAM 2023 turut memperuntukkan individu yang terbabit secara aktif dalam politik dan berdaftar dengan mana-mana parti politik tidak boleh dilantik sebagai anggota suruhanjaya.

"Seksyen 8 (1) menggariskan Pengerusi Suruhanjaya, Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak hendaklah dibayar elaun pada kadar yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Selain itu, tiap-tiap anggota suruhanjaya selain yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dibayar elaun pada kadar yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Terdahulu, RUU SUHAKAM 2023 dibentang buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari ini.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bacaan kali kedua akan dibuat Rabu ini.

Katanya, pindaan kepada Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) itu bertujuan untuk mengukuhkan fungsi dan peranan SUHAKAM sebagai satu badan bebas yang melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia di negara ini.

"Antaranya termasuklah penambahan seksyen baharu bagi memperuntukkan bahawa SUHAKAM hendaklah dimaklumkan mengenai tindakan yang diambil susulan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia yang dirujuk olehnya kepada mana-mana pihak.

"Selain itu, cadangan pindaan Akta 597 turut membabitkan pemerkasaan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak melalui pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua Pesuruhjaya Kanak-Kanak, di samping memperuntukkan kuasa tambahan kepada suruhanjaya untuk memantapkan pemeliharaan hak asasi golongan kanak-kanak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui semua cadangan pindaan Akta 597 seperti yang dihasratkan, Kerajaan Perpaduan yakin ekosistem pemeliharaan hak asasi manusia di negara ini akan bertambah baik.

"Selain itu, SUHAKAM akan dapat menjalankan kuasa dan fungsinya dengan lebih efektif," katanya.

Berita Harian X