Isnin, 27 November 2023 | 4:36pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat

CUEPACS bantah penubuhan jawatankuasa pantau kecenderungan politik kakitangan awam

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak cadangan menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam dan menyifatkan ia merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, menegaskan setiap penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

Oleh itu, katanya, sudah pasti setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing.

"CUEPACS memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab, selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.

"Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.

"Bagaimanapun dalam konteks demokrasi, penjawat awam berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuk ketika mengundi pada pilihan raya," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Adnan berkata, tiada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bagi meninjau kecenderungan politik penjawat awam.

"CUEPACS ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini, adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian.

"Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu telah menjadi kerajaan pada hari ini.

"Jadi, apabila sudah menjadi kerajaan, sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam," katanya.

Beliau berkata, tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik yang berbeza.

Ini kerana katanya, daripada sudut penjawat awam, sememangnya harus mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah, namun sebagai individu, penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih.

"Langkah yang dicadangkan ini juga sebenarnya hanya merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan selain memantau kecenderungan politik penjawat awam.

"Apatah lagi penubuhan jawatankuasa ini menggunakan sumber sedia ada kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara," katanya.

Berita Harian X