Isnin, 27 November 2023 | 3:02pm
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto BERNAMA
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto BERNAMA

Kerajaan akan wujudkan garis panduan penggunaan AI - Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui agensi agama akan menyediakan garis panduan dan etika berkaitan penggunaan serta penyelidikan teknologi kecerdasan buatan (AI) mengikut kerangka Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, ia adalah langkah awal yang dilaksanakan sebelum penelitian lanjut dibuat sama ada wujud keperluan untuk merangka undang-undang khusus berkait dengan konteks hukum dan fatwa.

"Setakat ini, perhatian kita di peringkat agensi agama adalah melihat kepada penyediaan garis panduan, etika penggunaan dan penyelidikan AI daripada perspektif Islam.

"Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta CyberSecurity untuk melihat sama ada undang-undang mengenai AI perlu dirangka atau sebaliknya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang ingin tahu pendirian kerajaan mengenai isu penggunaan AI daripada sudut pandangan agama.

Mohd Na'im turut menjelaskan, kuasa untuk mengeluarkan fatwa terkait dengan kuasa yang diberi kepada kerajaan negeri, khususnya mufti dan jawatankuasa fatwa.

"Sama ada (terdapat) keperluan untuk wujudkan fatwa bagi AI, ini akan dibincangkan apabila sudah ada garis panduan dan etika berkaitan penyelidikan AI itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai usaha dijalankan agensi agama bagi memberi kesedaran awal mengenai perkembangan semasa Ai dan fungsinya, Mohd Na'im berkata, pihak kementerian misalnya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) giat memberi kefahaman secara menyeluruh, termasuk melalui platform media sosial.

"Sudah tentu kebimbangan ada (mengenai penggunaan AI), memandangkan ia adalah teknologi terkini dan (ada masyarakat) yang tidak memahami. Saya setuju usaha ke arah beri kefahaman khususnya orang Islam mengenai impak AI perlu diperhebat.

"Dalam konteks itu, JAKIM melalui penulisan, media sosial dan sebagainya akan memperhebat (kesedaran) mengenai impak AI itu sendiri," katanya.

Berita Harian X