Isnin, 27 November 2023 | 2:00pm
Abdul Wahab sedang menjalani rawatan akibat kemurungan melampau dan akan memberi keterangan kepada polis pada minggu ini. - Gambar fail
Abdul Wahab sedang menjalani rawatan akibat kemurungan melampau dan akan memberi keterangan kepada polis pada minggu ini. - Gambar fail

'Wahab tak hilang, jalani rawatan akibat kemurungan melampau...'

KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dikatakan sedang menerima rawatan akibat kemurungan melampau.

Abdul Wahab yang dijadualkan memberi keterangan kepada pihak polis kelmarin, didakwa gagal dihubungi pihak berkuasa untuk membantu siasatan polis berhubung kes fitnah penularan rakaman video perbualan lucah membabitkan dirinya dan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Peguamnya, Faisal Rahman, berkata kenyataan polis berhubung kegagalan mereka mengesan Abdul Wahab adalah salah faham dan pihaknya menjadualkan semula pertemuan dengan polis bagi memberi keterangan diperlukan.

"Saya berikan komitmen kepada pihak polis (bahawa) pada minggu ini, Abdul Wahab akan datang memberikan keterangan seperti diminta.

"Abdul Wahab sebenarnya mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan, tarikh ditetapkan berjumpa polis adalah semalam (Ahad) tetapi atas faktor kesihatan, beliau tidak dapat (berbuat demikian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Faisal enggan mendedahkan lokasi dan jenis rawatan yang sedang dijalani Abdul Wahab ketika ini.

Mengulas dakwaan Abdul Wahab mematikan telefon bimbitnya hingga sukar dikesan, Faisal berkata, beliau yang mewakili anak guamnya itu sentiasa berhubung dengan polis.

Semalam, media melaporkan, polis masih mengesan Abdul Wahab bagi membantu siasatan berhubung kes rakaman video perbualan lucah membabitkan dirinya dan Mohammad Agus.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, setakat ini, Abdul Wahab belum tampil bagi

memberikan keterangan kepada polis.

Katanya, pelbagai usaha dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan Abdul Wahab.

tetapi masih belum berhasil.

Pada 17 November lalu, Abdul Wahab pada satu sidang media di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.

Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.

Berita Harian X