Ahad, 26 November 2023 | 10:03pm
Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita selepas penagguhan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA
Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita selepas penagguhan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA

Fahmi pertimbang fail saman fitnah berkaitan konsert Coldplay

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempertimbang untuk memfailkan saman terhadap pihak yang memfitnahnya berkaitan penganjuran konsert kumpulan rock antarabangsa Coldplay, baru-baru ini.

Beliau berkata ada individu yang membuat hantaran berbentuk grafik dengan menyatakan beliau mengungkapkan kalimah 'Alhamdulillah' berikutan konsert itu berlangsung dengan lancar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

Katanya, tuduhan dilemparkan individu itu adalah berdasarkan laporan media mengenai respons beliau berhubung penganjuran konsert berkenaan.

"Tuduhan itu bagi saya bersifat fitnah dan berniat jahat, sebenarnya lari daripada konteks apa yang saya sebut dan jawapan saya kepada seorang wartawan dan jawapan penuh saya boleh didapati di laman web (laporan berita) itu.

"Saya akan minta peguam untuk meneliti semua pihak yang mengeluarkan grafik fitnah ini dan kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka… ada pihak dengan motif memesongkan fakta dari kenyataan saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhir Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa Fahmi 'bersyukur' dengan pelaksanaan konsert Coldplay selain turut disertakan grafik mengandungi wajah menteri itu berlatar belakangkan suasana konsert dengan tajuk 'Konsert Coldplay: Alhamdulliah, berjalan dengan lancar - Fahmi Fadzil". – BERNAMA

Berita Harian X