Ahad, 26 November 2023 | 7:37pm
Putera Monaco Putera Albert II (tengah) melancarkan Pejabat Konsul Kehormat Monaco di Malaysia, Jalan Ampang hari ini.
Putera Monaco Putera Albert II (tengah) melancarkan Pejabat Konsul Kehormat Monaco di Malaysia, Jalan Ampang hari ini.

Pejabat Konsul Kehormat baharu perkukuh hubungan Malaysia-Monaco - Putera Albert II

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang baharu di sini akan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Monaco, titah Putera Monaco Putera Albert II.

Putera Albert II yang kini berada di Malaysia untuk lawatan negara pertamanya bermula hari ini hingga 29 November turut menekankan kepentingan langkah diplomatik berkenaan dan menyuarakan keyakinan baginda terhadap perkembangan berterusan dalam hubungan dua hala.

"Monaco menjadi contoh sebuah negara antarabangsa kerana individu dari 140 negara berbeza tinggal di wilayah kecil ini dalam jarak dua kilometer persegi.

"Dalam hal ini, saiz wilayah tidak pernah menjadi penghalang kepada keupayaan untuk berinteraksi dengan dunia tetapi sebaliknya ia adalah kekuatan," titah Putera Albert II ketika merasmikan pejabat konsulat di sini, hari ini.

Putera Albert II berharap hubungan diplomatik yang dimulakan lebih 13 tahun lalu akan semakin kukuh dan penubuhan konsulat itu menjadi lambang kepada komitmen Monaco terhadap ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.

Majlis perasmian pejabat itu di The Ampwalk dihadiri oleh tokoh terkenal termasuk Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Monaco Isabelle Berro-Amadei, Menteri Sumber Manusia Malaysia V Sivakumar dan Duta Malaysia ke Perancis Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Selain bertujuan untuk memperkukuh hubungan politik dan ekonomi, konsulat baharu itu juga akan dapat memudahkan lagi hubungan perniagaan, peluang pelaburan dan menyokong misi perdagangan dan delegasi antara Monaco dan Malaysia.

Sementara itu, Konsul Kerajaan yang baru dilantik Datuk Seri Omar Naresh Mohan berkata beliau komited untuk mempromosikan budaya, seni dan warisan Monaco di Malaysia.

Beliau berkata persekitaran politik dan ekonomi yang stabil di Monaco membolehkan penduduk menikmati kestabilan dan suasana yang selamat. .

Omar berkata kekayaan tradisi dan budaya Monaco menarik minat rakyat Malaysia untuk menerokai pelbagai tawaran yang ada.

Terletak di pantai Mediterranean, Monaco adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka yang mempunyai populasi lebih daripada 35,000 orang.

Terkenal dengan Grand Prix Monaco, wilayah kecil itu menjadi destinasi pelancongan menarik dengan hotel-hotel dan pelbagai tarikan lain. – BERNAMA

Berita Harian X