Ahad, 26 November 2023 | 6:49pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto FB Universiti Putra Malaysia
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto FB Universiti Putra Malaysia

Graduan diseru terus sinergi dengan alma mater UPM - Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meneruskan sinergi bersama alma mater selain turut menyumbang kepada pembangunan pelajar di universiti berkenaan.

UPM dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin yang juga Canselor UPM bertitah bahawa kelangsungan sinergi terbabit adalah sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga universiti yang merealisasikan kejayaan mereka pada hari ini.

"Selain menyumbang pada pembangunan pelajar UPM, graduan juga boleh membantu universiti dalam apa-apa juga bentuk peranan dan sumbangan demi kecemerlangan UPM," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-47 UPM Sidang 2 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini, semalam.

Kenyataan itu menyatakan, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar graduan yang dilahirkan perlu berkualiti, bukan hanya cemerlang dalam pencapaian akademik, malah juga perlu cemerlang secara holistik serta seimbang dalam segenap aspek.

Selain itu, baginda turut menggesa agar UPM terus melaksanakan fungsi dan peranannya terhadap masyarakat seiring dengan hasrat negara menjadi sebuah negara bertamadun tinggi.

"Beta percaya sumbangan terbesar UPM dalam usaha membangunkan negara adalah melahirkan graduan yang unggul serta insan yang luhur, sejajar dengan peranannya sebagai sebuah menara ilmu," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut memerintahkan supaya bidang pertanian terus kekal menjadi bidang utama UPM dan memastikan universiti itu memainkan peranan yang penting untuk memacu kecemerlangan dalam bidang pertanian negara.

Terdahulu, UPM telah melaksanakan program latihan pertanian moden di bawah Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IP-Intan @ UPM yang membabitkan komuniti serta siswazah, selain Projek Pembangunan Belia Tani dan program Usahawantani Putra-Perhebat.

Sementara itu, baginda turut menyeru agar graduan untuk terus berusaha dalam bidang pekerjaan yang diceburi dan melaksanakannya dengan jujur selain berhemah dalam penggunaan ayat berkomunikasi menerusi media sosial.

"Graduan perlu berhati-hati dengan menggunakan ayat terutamanya membabitkan isu 3R iaitu institusi diraja, agama dan kaum kerana ia boleh mengundang perbalahan dan mengancam perpaduan negara kita," titah baginda.

Berita Harian X