Sabtu, 25 November 2023 | 4:07pm
Mangsa penipuan pakej umrah menunjukkan laporan polis pada sidang media media mengenai penipuan pakej umrah syarikat terkenal di Sungai Besi, Kuala Lumpur kelmarin. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Mangsa penipuan pakej umrah menunjukkan laporan polis pada sidang media media mengenai penipuan pakej umrah syarikat terkenal di Sungai Besi, Kuala Lumpur kelmarin. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Jangan sebab nila setitik rosak susu sebelanga', MOTAC didesak namakan agensi tipu pakej umrah

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak lagi berselindung mengenai agensi pelancongan yang melakukan penipuan pakej umrah.

Kegagalan MOTAC mendedahkan agensi umrah berkenaan mengakibatkan syarikat lain menjadi mangsa keadaan.

Setiausaha Agung PAPUH, Faridah Hamid, berkata tindakan kementerian yang kerap mengeluarkan kenyataan secara umum hanya menimbulkan persepsi tidak baik terhadap agensi pelancongan umrah yang benar-benar amanah dan bertanggungjawab.

"Merujuk siaran media MOTAC semalam, PAPUH berpandangan adalah lebih baik MOTAC terus menamakan syarikat agensi pelancongan yang kerap kali melakukan kesalahan sehingga lesen mereka digantung.

"MOTAC kerap kali menyebut 'syarikat agensi pelancongan' yang mana ini secara langsung akan menyebabkan lebih 900 agensi pelancongan yang berdaftar akan terpalit sekali.

"Sedangkan MOTAC mengetahui nama agensi pelancongan yang dimaksudkan. Kita tidak mahu disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pihaknya akan meneliti serta menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan, terutama perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Ia susulan masih banyak aduan mengenai jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan syarikat agensi pelancongan diterima walaupun tindakan tegas seperti membatalkan lesen syarikat terbabit sudah dilaksanakan.

Faridah turut berkata, MOTAC sepatutnya memberi penjelasan mengenai aduan diterima, termasuk jika ia adalah kes lama dengan tindakan telah diambil terhadap syarikat terbabit sama ada di pihak kementerian itu atau melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Jangan setiap kali ada isu berbangkit mengenai penipuan, seluruh syarikat agensi pelancongan menjadi mangsa.

"Kita boleh gunakan 'platform' yang ada untuk menambah baik industri umrah. Tidak perlu menambah beban tugasan pegawai di MOTAC untuk melaksanakan pemutihan kerana apa yang lebih penting, pegawai tersebut dapat dikerah untuk menjalankan penguatkuasaan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau turut memberitahu, ketika ini industri umrah bukan sahaja diselia oleh MOTAC, tetapi turut dipantau Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang turut dianggotai banyak agensi kerajaan dan persatuan pelancongan.

Dalam pada itu, PAPUH turut menyarankan orang ramai supaya menyemak status sesebuah syarikat agensi pelancongan sama ada mereka berdaftar dan memiliki lesen umrah sebelum bayaran dibuat.

Katanya, semakan boleh dibuat dengan melayari pautan https://www.motac.gov.my/semakan/umrah .

Berita Harian X