Sabtu, 25 November 2023 | 2:05pm
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada ziarah kasih di Pengkalan Pandan (DUN Chukai) dan sekitarnya pada program turun padang sempena PRK Kemaman. - NSTP/Rohanis Shukri
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada ziarah kasih di Pengkalan Pandan (DUN Chukai) dan sekitarnya pada program turun padang sempena PRK Kemaman. - NSTP/Rohanis Shukri

BN terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana individu untuk jadi calon pilihan raya - Johari

CHUKAI: Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tindakan mengangkat orang bukan di dalam parti sebagai calon bukannya kali pertama diadakan, tetapi sudah dilaksanakan pada PRK Cameron Highlands yang pada ketika itu meletakkan seorang bekas pegawai polis sebagai sandaran.

Justeru, Ahli Parlimen Titiwangsa itu sekali gus menolak tanggapan pihak yang beranggapan parti itu tidak mempunyai pemimpin untuk diangkat menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

"Sebenarnya dalam BN ini, satu perkara yang saya agak tertarik ialah kita mengambil maklum bahawa kalau tidak ada kesediaan masyarakat nak terima kita, kita akan cuba cari mana-mana individu yang berminat untuk bekerjasama dengan parti.

"Jadi kita nampak Tan Sri Affandi (Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor) berminat untuk luangkan masa dan berbakti pada masyarakat di sini, jadi kita rasa itulah calon yang paling sesuai. Kita tidak sekat orang dan itulah konsep yang digunakan oleh BN.

"Sebab itu di Cameron Highlands (guna pendekatan yang sama), akhirnya dia menang dan kini sudah menjadi seorang Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang hebat di Parlimen. Kalau kita tidak beri peluang sebelum ini, kita tidak akan tahu," katanya selepas mengikuti kempen calon BN, di sini hari ini.

PRK Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada 2 Disember ini menyaksikan saingan antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Johari berharap PRK Kemaman BN mengulangi kejayaan di Cameron Highlands serta memohon supaya pengundi di Parlimen itu untuk memberikan peluang yang sama kepada Raja Mohammed Affandi.

Beliau berkata, pada masa akan datang, lebih ramai golongan muda akan dibantu menjadi pemimpin seterusnya membawa parti keramat itu terus ke hadapan.

Berita Harian X