Sabtu, 25 November 2023 | 1:01pm
Nur Iman Mohd Sabri sudah menjalani empat siri pembedahan besar sejak dilahirkan 22 bulan lalu. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Nur Iman Mohd Sabri sudah menjalani empat siri pembedahan besar sejak dilahirkan 22 bulan lalu. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS

Kasihan Nur Iman

KOTA BHARU: Dalam usia baru menginjak 22 bulan, Nur Iman Mohd Sabri sudah menjalani empat siri pembedahan besar dan hospital pula sudah dianggap seperti rumah keduanya.

Dilahirkan dengan penyakit Benign epignathus teratoma, iaitu ketumbuhan besar dalam mulut yang menutup seluruh hidung dan mulut sehingga menyukarkannya makan serta bernafas. Dia juga tidak memiliki lelangit, gusi pula tidak normal, lidah terbelah dua dan hidung serta mulut tidak sempurna.

Menurut bapanya, Mohamad Sabri Ariffin, 29, anak kedua itu sudah menjalani pembedahan sejak berusia tiga bulan, terakhir pada Januari lalu, membabitkan pembedahan untuk membentuk dagu serta bibir.

"Ketika dalam kandungan, doktor tidak mengesan sebarang kecacatan pada bayi, tapi sebaik dilahirkan, kami semua terkejut melihat keadaannya yang menyedihkan," katanya yang ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang menyerahkan sumbangan zakat.

Mohamad Sabri Ariffin berkongsi gambar Nur Iman selepas kelahiran. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Mohamad Sabri Ariffin berkongsi gambar Nur Iman selepas kelahiran. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS

Katanya lagi, isterinya, Nor Fazlina Ibrahim, 39, pada awalnya tidak dapat menerima kenyataan dan sepanjang tiga bulan asyik menangis mengenangkan keadaan Nur Iman sehingga perlu dirujuk kepada pakar psikiatri, namun lama-kelamaan reda dengan takdir.

Menurut Mohamad Sabri, banyak lagi siri pembedahan perlu dijalani anak bongsu itu dan doktor menjangkakan semua prosedur mengambil masa sehingga usianya 12 tahun.

"Baru-baru ini doktor ada membuat ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan mengesan ada ketumbuhan di kepala. Untuk rawatan itu, kami memerlukan RM9,000 kos pembelian alat yang perlu dipasang pada tubuh Nur Iman untuk membuang cecair berkaitan.

"Kami minta sedikit masa kerana selain kekangan wang, biarlah Nur Iman berehat dahulu. Walaupun tidak dapat bersuara, selain hanya terlantar di katil, dia menunjukkan tindak balas jika namanya dipanggil dan kami berdoa ada keajaiban buatnya. Biarlah dia jadi normal walau tidak sepenuhnya," katanya.

Mohamad Sabri yang sudah berhenti kerja dalam bidang pembinaan di Kuala Lumpur sejak Nur Iman dilahirkan, kini langsung tidak mempunyai pendapatan kerana perlu menguruskan anak itu bersama isteri kerana bayi perempuan mereka memerlukan penjagaan rapi.

Buat masa sekarang, dia dan keluarga hanya bergantung pada wang simpanan yang semakin berkurang, selain bantuan sanak saudara dan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Nur Iman sebanyak RM700 sebulan.

"Perbelanjaan untuknya agak besar kerana selain lampin pakai buang dan susu khas, keperluan perubatan juga perlu disediakan, termasuk kos ulang alik kami dari Jerteh, Terengganu ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian jika ada janji temu," katanya.

Berita Harian X