Sabtu, 25 November 2023 | 10:07am

Jangan biarkan rakyat, negara jadi mangsa pemimpin suka mencela, menghina - Sultan Nazrin Shah

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah amatlah berbahaya kepada negara untuk membiarkan individu yang sudah diangkat sebagai pemimpin, berperangai saling mencela dan menghina, sekali gus berpotensi mencetuskan kebencian dan menyalakan api permusuhan.

Baginda bertitah, rakyat dan negara tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian termasuk oleh pemimpin samaran yang terbentuk dalam acuan 'guru sihir' yang pintar.

Baginda bertitah, lebih mendukacitakan, ada pemimpin yang merasa megah dan berbangga dengan perbuatan sedemikian.

"Amat membimbangkan apabila kebelakangan ini, aspek budi bahasa dan sopan santun semakin diketepikan.

"Diperhatikan budi bahasa dan sopan santun diketepikan bukan oleh golongan yang tiada berpendidikan atau tidak berjawatan tinggi, tetapi dikorbankan oleh kumpulan berpelajaran tinggi, berjawatan dan bergelaran.

"Bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina, semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan," titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-63 di Dewan Tuanku Canselor, UM di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke istiadat itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Baginda berkenan menganugerahkan Ijazah Kedoktoran Sejarah dan Arkeologi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, manakala Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil  dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Undang-Undang Syariah dari Akademi Pengajian Islam.

Selain itu, gelaran Ijazah Kehormat turut dianugerahkan kepada tokoh dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Presiden Universiti Kebangsaan Singapura, Prof Tan Eng Chye.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Prof Tan Eng Chye, ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Prof Tan Eng Chye, ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Seramai 8,327 graduan diraikan sepanjang istiadat konvokesyen itu yang berlangsung selama tujuh hari, mulai hari ini sehingga 2 Disember ini.

Sultan Nazrin, yang juga Canselor UM, bertitah perbuatan tidak beradab itu dilihat semakin berleluasa, malah ia seolah dinormalisasikan sehingga disebut dalam pelbagai acara termasuk di dewan yang memiliki status kemuliaan, selain di tempat ibadat.

"Amatlah berbahaya kepada negara untuk membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang telah diangkat sebagai pemimpin, berperangai saling mencela dan menghina. Ia berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan.

"Warga dan negara jangan dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pemimpin samaran," titah baginda.

Sultan Nazrin menjelaskan, nilai kesopanan tidak boleh diketepikan kerana ia asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

Baginda dalam titahnya turut menegaskan, golongan pemimpin sepatutnya sedar perbuatan sedemikian berupaya memberikan implikasi negatif terutama kepada imej dan identiti negara di mata dunia.

Sehubungan itu, baginda bertitah, dalam usaha menangani kepincangan sedemikian, pembudayaan ilmu melalui komponen kelima dalam Rukun Negara iaitu 'kesopanan dan kesusilaan' perlu dipertingkat.

"Demi memastikan minda rakyat, terutama anak-anak di bangku sekolah tidak terpengaruh dengan teladan perangai tidak beradab yang mempunyai nilai yang salah, amatlah penting komponen Rukun Negara yang kelima 'kesopanan dan kesusilaan' dijadikan sebahagian daripada input dalam program pengilmuan, dihayati dan diamalkan.

"Rukun Negara diperkenalkan setelah asas perpaduan kaum dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 susulan berlakunya perang mulut dan laungan-laungan menyentuh sentimen kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan kaum.

"Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada tahun 1969 untuk segera dilakukan langkah preventif, menghentikan suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama," katanya.

Sultan Nazrin juga bertitah, universiti hendaklah menjadi taman didikan yang berupaya melahirkan rakyat yang berjiwa besar, yang mengamalkan semangat hormat-menghormati, yang berupaya berinteraksi dalam suasana harmoni, yang sopan dan memiliki tatasusila, dan warga yang beradab dan bertamadun.

"Universiti hendaklah menjadi taman asuhan mengasuh rakyat untuk menghargai budaya syura, budaya yang mengamalkan penyuaraan pendapat secara tertib lagi bersopan, berhujah dengan fakta, dilangsungkan secara beradab; dan semangat bermesyuarah untuk mengolah resipi penyatuan secara terhormat ketika berhadapan pandangan yang berlainan.

"Nilai kesopanan dan kesusilaan adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera. Sedarilah...perilaku rakyat, apatah lagi dalam kalangan pemimpin akan memberikan imej, wajah dan identiti negara kita di mata dunia. Kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan oleh rakyat adalah suatu ukuran kemajuan dan ketamadunan negara," titahnya.

Sultan Nazrin bertitah ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-63 di Dewan Tuanku Canselor, UM, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sultan Nazrin bertitah ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-63 di Dewan Tuanku Canselor, UM, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X