Sabtu, 25 November 2023 | 12:21am
Raja Mohamed Affandi ketika berceramah di Bukit Kuang, malam tadi. - FOTO BERNAMA
Raja Mohamed Affandi ketika berceramah di Bukit Kuang, malam tadi. - FOTO BERNAMA

PRK Kemaman: Tawaran jadi calon umpama 'call of duty' - Raja Mohamed Affandi

CHUKAI: Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyifatkan tawaran menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, umpama 'call of duty' (panggilan tugas) bagi dirinya sebagai bekas tentera.

Mengaku tidak mudah membuat keputusan menerima tawaran itu, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau akhirnya bersetuju untuk bertanding demi pembangunan Kemaman serta kebajikan penduduknya, walaupun terpaksa mengorbankan kehidupan selesa selepas bersara sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT).

"Saya sudah selesa hidup, saya punya pencen (wang pencen) cukup. Alhamdulillah, pada masa sama, saya juga Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Saya ada kereta, saya ada pemandu… jadi Ahli Parlimen, saya pun tidak tahu berapa banyak gaji.

"…tetapi saya terima itu... kerana bagi saya, ini adalah pengorbanan saya untuk Kemaman. Jadi kalau saya mari sini (Kemaman), saya berkorban... jadi berkorbanlah untuk beri saya peluang mewakili orang Kemaman," katanya ketika berceramah di Bukit Kuang pada kempen PRK Parlimen Kemaman, dekat sini, malam tadi.

Ceramah itu turut dibarisi Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

PRK kali ini yang ditetapkan 2 Disember depan sebagai hari mengundi, menyaksikan Raja Mohamed Affandi bakal berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mewakili PAS.

Raja Mohamed Affandi bagaimanapun mahu semangatnya itu dikongsi pengundi untuk bersama-sama membangunkan Kemaman yang menjadi tempatnya membesar, ke tahap lebih tinggi.

"Kalau patah sayap bertongkat paruh, kita berperang dan kita harus menang," katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ceramahnya mengimbau kenangan beliau ketika dilantik sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini yang banyak dibimbing Raja Mohamed Affandi sewaktu masih berkhidmat sebagai PAT.

Beliau berharap individu berkaliber seperti Raja Mohamed Affandi diberi peluang oleh pengundi untuk menjadi wakil rakyat Parlimen Kemaman, seterusnya membawa angin perubahan politik di Pantai Timur.

"Insya-Allah, ombak Kerajaan Perpaduan boleh bermula di Kemaman hingga ke Sungai Golok (Kelantan)," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X