Jumaat, 24 November 2023 | 11:39pm
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

MOTAC semak semula kelayakan agensi pelancongan urus umrah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneliti serta menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan, terutama perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata ia susulan aduan orang ramai, khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan syarikat agensi pelancongan, masih diterima walaupun tindakan tegas seperti membatalkan lesen syarikat terbabit, sudah dilaksanakan.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, akan mengetuai jawatankuasa semakan itu dan membentangkan laporan lengkap dalam tempoh sebulan.

"Ini termasuk mengkategorikan syarikat yang benar-benar menjalankan perniagaan dengan baik dan sebaliknya, serta laporan terperinci mengenai rekod syarikat-syarikat berkenaan sepanjang tempoh menguruskan jemaah umrah.

"Tindakan ini bagi memastikan syarikat agensi pelancongan lebih bertanggungjawab ketika menjalankan perniagaan dan tidak mengabaikan pelanggan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

King Sing berkata, pihaknya juga akan menyelesaikan beberapa isu lain seperti harga serta prosedur permohonan boleh dibuat melalui MOTAC, sebelum kementerian menyerahkannya kepada agensi pelancongan yang bertanggungjawab bagi menjimatkan kos yang tidak perlu dikenakan terhadap pelanggan.

"Syarikat agensi pelancongan sama ada yang telah lama beroperasi mahupun baharu, perlu melaporkan setiap aktiviti berkaitan pelanggan mereka sepanjang perjalanan mengerjakan umrah, kepada MOTAC bagi pemantauan secara dekat serta memastikan segala janji yang ditawarkan kepada pelanggan dikotakan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membincangkan mengenai kuota.

"Sekiranya MOTAC diberikan amanah, jawatankuasa yang diketuai Timbalan Menteri akan ditubuh untuk menguruskan perkara ini, daripada diberikan secara terus kepada syarikat agensi pelancongan.

"Ia agar proses jemaah umrah dari negara kita dapat berjalan dengan lebih lancar, telus dan bertanggungjawab, serta memastikan kejadian sama khususnya membabitkan penipuan tidak berulang lagi pada masa depan," katanya.

King Sing berkata, inisiatif dilakukan MOTAC itu diharap dapat membantu dan melindungi jemaah umrah daripada terus menjadi mangsa penipuan, selain memberi peringatan kepada syarikat agensi pelancongan supaya tidak memperdaya pelanggan serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

"Saya juga merayu agar semua syarikat agensi pelancongan pengurusan umrah sentiasa jujur dalam menjalankan perniagaan mereka serta sentiasa menunaikan tanggungjawab sepenuhnya dalam memberi tawaran perkhidmatan yang dijanjikan.

"Syarikat-syarikat berkenaan adalah dilarang memasarkan dan menawarkan perkhidmatan yang tidak mampu diberikan seperti tidak mempunyai kuota atau kapasiti logistik yang sepatutnya," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X