Jumaat, 24 November 2023 | 7:56pm
Pemangku Raja Perlis, Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin menyerahkan sijil kepada peserta Kem Jati Diri disaksikan oleh Puan Raja Muda Perlis Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani. - Foto YBR
Pemangku Raja Perlis, Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin menyerahkan sijil kepada peserta Kem Jati Diri disaksikan oleh Puan Raja Muda Perlis Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani. - Foto YBR

Yayasan Bank Rakyat anjur Kem Jati Diri untuk pelajar di Perlis

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta Rejimen 504 Askar Wataniah Kemukit Keteri Perlis mengadakan Kem Jati Diri untuk pelajar sekolah menengah yang terpilih.

Program ini memberi tumpuan kepada modul pembentukan akhlak belia dengan menyasarkan pembabitan daripada 60 pelajar perempuan sekolah menengah di sekitar Perlis.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata pihaknya menyokong penuh inisiatif pendidikan kepada semua lapisan masyarakat dan belia iaitu golongan yang sentiasa mendapat perhatian yayasan dalam mengembangkan potensi mereka selaku pelapis pemimpin negara.

"Diharapkan inisiatif ini dapat membantu memberi pendedahan kepada peserta bagi membentuk kepimpinan muda pelapis yang bertanggungjawab dan berketerampilan, selaras dengan hala tuju kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi pelapis kepimpinan belia pada masa akan datang.

"Melalui modul disediakan dapat meningkatkan kesedaran dan motivasi peserta untuk mempertingkatkan tahap pencapaian melalui jati diri yang utuh di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.

Tuanku Pemangku Raja Perlis, Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin serta Tuanku Puan Raja Muda Perlis, Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil hadir ke majlis bertempat di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah Bukit Keteri Perlis.

Hadir sama, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Dengan penganjuran inisiatif seperti ini, YBR menaruh keyakinan ia dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda dalam memupuk semangat kekitaan dan perpaduan serta perasaan tanggungjawab dalam kalangan belia, aagar dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan juga negara.

Objektif lain bagi pelaksanaan program ini adalah ia diharapkan dalam membimbing peserta agar dapat memiliki nilai murni dan jati diri.

Selain itu, ia disasarkan dapat memberi pendedahan mengenai isu semasa serta melahirkan peserta yang berdisiplin dan bersemangat patriotik serta cintakan negara.

Berita Harian X