Jumaat, 24 November 2023 | 6:49pm
Nyamuk Aedes betina menyebarkan virus denggi (genus Flavivirus). - Foto hiasan
Nyamuk Aedes betina menyebarkan virus denggi (genus Flavivirus). - Foto hiasan

Kes denggi turun 2.6 peratus, tiada kematian

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun 2.6 peratus kepada 2,372 kes pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME46) iaitu bagi tempoh 12 hingga 18 November lepas berbanding 2,435 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME46.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME46 meningkat 93.8 peratus kepada 105,743 kes berbanding 54,570 kes bagi tempoh sama 2022.

"Sejumlah 80 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 37 kematian bagi tempoh yang sama pada 2022," katanya.


Dr Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME46 adalah sebanyak 66 lokaliti berbanding 70 pada minggu sebelumnya.

Lokaliti berkenaan ialah 50 di Selangor, lima di Sabah, Perak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing empat manakala masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Beliau berkata, faktor pergerakan orang ramai secara meluas menyebabkan risiko jangkitan demam denggi lebih tinggi dan lebih cepat merebak, jika terdapat nyamuk Aedes di persekitaran.

"Penyebaran jangkitan demam denggi ini boleh terjadi melalui pembawa virus denggi (pesakit denggi) ke kawasan baharu sama ada mereka bergejala atau tidak," katanya yang turut menasihatkan orang ramai agar tidak pergi ke kawasan wabak atau hotspot denggi.

Bagi survelan chikungunya pula, Dr Muhammad Radzi berkata, terdapat dua kes direkodkan pada ME46 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 186 kes.

Beliau berkata, bagi survelan zika, sebanyak 3,257 sampel darah dan 347 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif. – BERNAMA

Berita Harian X