Jumaat, 24 November 2023 | 5:53pm
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempurnakan pelancaran Misi Penghantaran Barang Keperluan Ke Pangkalan Hadapan di Mukim Hulu Tembeling sebagai persiapan hadapi musim tengkujuh. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempurnakan pelancaran Misi Penghantaran Barang Keperluan Ke Pangkalan Hadapan di Mukim Hulu Tembeling sebagai persiapan hadapi musim tengkujuh. - Foto Bernama

Agong sempurnakan pelancaran misi penghantaran barang keperluan hadapi tengkujuh

JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenaan menyempurnakan pelancaran Misi Penghantaran Barang Keperluan Ke Pangkalan Hadapan di Mukim Hulu Tembeling di sini, sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Siti Nor Hasma Mat Isa.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berkenan melakukan gimik pelepasan lima bot, sebuah lori dan dua kenderaan pacuan empat roda membawa muatan barangan makanan seberat 19 tan untuk ditempatkan di enam pangkalan hadapan Mukim Hulu Tembeling.

Pangkalan hadapan bagi menyimpan barang makanan kering antaranya beras, minyak, gula, biskut dan teh di mukim berkenaan terletak di Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantai, Kampung Gusai dan Kampung Orang Asli Sungai Kuching.

Daerah Jerantut keseluruhannya mempunyai 19 pangkalan hadapan yang akan menempatkan lebih 44 tan barang makanan kering sebagai persiapan Monsun Timur Laut di Pahang.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Kuala Sat, di sini bersama penduduk setempat dan mengurniakan bantuan kepada 150 asnaf.

Baginda kemudiannya turut mencemar duli mengunjungi beberapa rumah penerima bantuan JKM di sekitar Kampung Kuala Sat, di sini dan berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

- BERNAMA

Berita Harian X