Jumaat, 24 November 2023 | 4:40pm
(Gambar fail) Bekas Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
(Gambar fail) Bekas Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Pemansuhan UPSR tidak beri kesan potensi pelajar masuk MRSM - Bekas Pengerusi MARA

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilihat tidak memberi kesan kepada potensi dan keupayaan pelajar yang ingin memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata ia kerana potensi dan keupayaan pelajar terbabit diukur melalui ujian khas sebelum diterima memasuki MRSM.

"Sebenarnya, tiada masalah sebab pelajar yang memohon untuk memasuki MRSM, perlu melalui ujian khas.

"Hanya yang berjaya lulus dengan markah ditetapkan akan diterima masuk ke MRSM," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR, menjadikan MRSM sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

Asyraf Wajdi dipetik berkata, ketiadaan UPSR juga antara faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM adalah rendah.

UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima.

Namun pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan pemansuhan peperiksaan terbabit susulan pandemik COVID-19.

Pada Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa untuk menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka.

Semalam, sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang meminta Kementerian Pendidikan meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya UPSR dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar pada peringkat sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, kaedah ketika ini membabitkan pemansuhan UPSR dan ujian khas kemasukan ke MRSM, disifat boleh diteruskan seperti biasa.

Berita Harian X