Jumaat, 24 November 2023 | 3:49pm
 Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berucap di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lok Khoon Kemasik, Chukai, Kemaman. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berucap di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lok Khoon Kemasik, Chukai, Kemaman. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply.

PRK Kemaman: 'Hadi mungkin berasa peluang PAS terancam'

CHUKAI: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap pengundi dalam kalangan warga emas yang menyokong Barisan Nasional (BN) sebagai tidak faham politik, mungkin dibuat kerana partinya berasa terancam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata PAS sedia maklum bahawa BN mempunyai penyokong tegar yang sukar dipengaruhi dalam Parlimen Kemaman.

"Pengundi yang biasa duduk di kawasan ini (Kemaman) lebih tegar kepada BN. Kalau buat kenyataan seperti itu, mungkin mereka berasa terancam daripada segi peluang kemenangan.

"Saya rasa pengundi muda juga tak tentu lagi akan menyokong calon PAS (kerana) banyak faktor yang (akan) diberikan pertimbangan dan melihat kepada kestabilan politik hari ini (sebelum membuang undi).

"Apa yang penting adalah PRK (Pilihan Raya Kecil) ini tidak mengubah kerajaan. Ia hanya memilih seorang Ahli Parlimen dan Kerajaan Persekutuan sudah stabil," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika ditemui pemberitadi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lok Khoon Kemasik di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu ceramah di Kijal kelmarin meminta jentera parti berusaha memujuk pengundi dalam kalangan warga emas untuk mengundi PAS pada PRK Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Katanya, langkah itu perlu kerana kebanyakan daripada golongan berkenaan tidak menyokong PAS apabila memilih bersama BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Dalam pada itu, Anthony turut berharap pengundi menyokong calon Kerajaan Perpaduan pada PRK kali ini.

"Terengganu tiada langsung parti lain, hanya dikuasai pihak PAS. Jadi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sama sahaja.

"Dalam mana-mana demokrasi, ia tidak sihat apabila tiada langsung persaingan. Saya mengharapkan pengundi Kemaman (dapat) menyokong calon kita supaya di Kemaman ini dapat memberikan satu kelainan daripada yang lain.

"Ia juga (akan) memberikan persaingan dan tekanan kepada kerajaan negeri dengan adanya kemenangan bagi Kerajaan Perpaduan di Kemaman ini," katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Berita Harian X