Jumaat, 24 November 2023 | 12:55pm
Pesawah, Hasan Daud, 53 dan Ismail Pak Chu, 78, menunjukkan pokok padi yang tidak sempat dituai kerana kawasan bendang dipenuhi air akibat hujan dan air tidak dapat mengalir keluar kerana tiada saliran yang baik. - NSTP/ SITI ROHANA IDRIS
Pesawah, Hasan Daud, 53 dan Ismail Pak Chu, 78, menunjukkan pokok padi yang tidak sempat dituai kerana kawasan bendang dipenuhi air akibat hujan dan air tidak dapat mengalir keluar kerana tiada saliran yang baik. - NSTP/ SITI ROHANA IDRIS

20 pesawah kerugian ratusan ribu padi masak digenangi air

TUMPAT: Kira-kira 20 pesawah di Kampung Bendang Pak Yong, di sini, berdepan kerugian ratusan ribu ringgit apabila 30 hektar bendang mereka dipenuhi air sebelum hasil sempat dituai.

Difahamkan, hujan sejak seminggu lalu menyebabkan bendang terbabit digenangi air selepas ia tidak dapat dialirkan keluar berikutan laluan yang terhalang dengan pintu air yang tidak dibuka.

Selain itu, projek tebatan banjir turut menghalang air daripada mengalir terus ke Sungai Golok.

Seorang pesawah, Ismail Pak Chu, 78, berkata, sebelum ini mereka tidak berdepan masalah kerana menanam padi dalam jadual yang betul, iaitu bermula Januari untuk musim pertama diikuti musim kedua pada Jun.

"Bagaimanapun banjir lalu berakhir lewat iaitu pada Februari dan sebaik air surut, kami segerakan penanaman padi musim pertama yang dituai pada Mei sebelum meneruskan musim kedua pada pertengahan Julai.

"Sekarang memang sudah masa padi dituai, namun hujan sejak seminggu lalu menyebabkan bendang kami dipenuhi air dan pintu air di tali air berhampiran pula tidak dapat dibuka kerana rosak sekali gus menyebabkan ia (air) mengalir keluar secara perlahan.

"Untuk sampai ke Sungai Golok juga berdepan dengan saluran keluar yang terhalang oleh pembinaan projek tebatan banjir, malah hanya empat saluran sahaja disediakan sekali gus menyukarkan air keluar dengan laju ke sungai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ismail berkata, sawah padinya yang berkeluasan dua hektar itu sudah tidak dapat diselamatkan kerana belum sempat air surut, mereka bakal menerima limpahan air banjir dari Pasir Mas dan Rantau Panjang bila-bila masa dari sekarang.

Bagi Ahmad Nashruddin Harun, 32, daripada 12 hektar sawah padi diusahakannya, lapan hektar di Kampung Kajang Sebidang dan Bendang Pak Yong sudah mengalami kerugian mencecah RM40,000.

"Empat hektar padi saya di Kampung Kajang Sebidang sudah musnah dan kini keadaan sama berlaku di Bendang Pak Yong, manakala di dua lokasi lagi entah apa nasibnya.

"Jika berlaku hujan dan limpahan air sekalipun, padi masih sempat diselamatkan jika air dapat mengalir keluar dengan segera tapi bila bergenang begini, memang tidak mampu berbuat apa-apa.

"Esok atau lusa limpahan air dari Pasir Mas serta Rantau Panjang akan datang dan keadaan mungkin akan jadi lebih teruk," katanya.

Berita Harian X