Jumaat, 24 November 2023 | 11:02am

'Hanya Wahab dapat sahkan peranan, identiti Mr H'

KUALA LUMPUR: Hanya Wahab yang mampu mengesahkan peranan serta identiti sebenar individu dikenali sebagai Mr H, yang dikaitkan dengan video perbualan jelik yang turut membabitkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sekali gus meminta Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, tampil untuk membantu siasatan.

Ini kerana kegagalan Wahab tampil membantu siasatan kes fitnah membabitkan Mohammad Agus itu menyebabkan peranan secara langsung Mr H dalam siasatan polis masih samar.

Meskipun Mr H sudah tampil, pembabitannya sebagai dalang dalam kes ini seperti didakwa oleh Mohammad Agus masih menjadi tanda tanya dan pihak polis masih perlu mendapatkan keterangan daripada Wahab.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily mengesahkan setakat ini empat individu sudah tampil memberikan keterangan.

"Selain Mohammad Agus selaku pengadu, tiga yang lain adalah aktivis politik, Chegubard; Mr H dan seorang pekerja hotel di Bangi iaitu individu yang dapat mengesahkan lokasi sidang media diadakan minggu lalu.

"Justeru pihak polis amat-amat memerlukan kerjasama daripada Wahab untuk tampil bagi membantu siasatan kerana hanya Wahab yang dapat mengesahkan peranan dan identiti sebenar Mr H," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sudah menghubungi Wahab melalui peguamnya, namun pihak Penolong Pegawai J-KOM itu memberikan alasan ancaman keselamatan sekiranya tampil.

"Kami memaklumkan kepada peguam bahawa tiada sebarang isu keselamatan di sini dan sekiranya ada, Wahab kena beritahu apakah ancaman dihadapinya dan pihak polis sedia memberikan bantuan dan jaminan keselamatannya," katanya.

Mengenai identiti Mr H yang dipanggil polis semalam untuk membantu siasatan, beliau berkata ia adalah berdasarkan maklumat daripada Mohammad Agus selaku pengadu.

Pada masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Kertas siasatan akan segera dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

Minggu lalu, tular video perbualan berunsur lucah antara Mohammad Agus dan Wahab sebelum kedua-dua mereka mengadakan sidang media di sebuah hotel di Bangi menyatakan video berkenaan diedit dengan tujuan untuk menjatuhkan kredibiliti Mohammad Agus sebagai Ketua Pengarah J-KOM.

Wahab perlu tampil untuk membantu siasatan terutama dalam mengesahkan peranan serta identiti sebenar Mr H. - NSTP/ AZHAR RAMLI
Wahab perlu tampil untuk membantu siasatan terutama dalam mengesahkan peranan serta identiti sebenar Mr H. - NSTP/ AZHAR RAMLI
Berita Harian X