Jumaat, 24 November 2023 | 10:44am

Ketua Penerangan BERSATU didakwa atas tuduhan menghasut

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghasut membabitkan kenyataan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sabitan empat pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Razali, 57, yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

"Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Razali didapati menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, jam 9.30 malam hingga 11.30 malam, 10 November lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

"Syarat tambahan tidak membuat hantaran atau komen hingga kes selesai," katanya.

Peguam bela Razali, Hasshahari Johari Mawi pula hanya memohon jaminan RM1,000 dan tidak membantah syarat tambahan, namun ia perlu merangkumi orang ramai supaya tiada perbincangan mengenai merit kes itu di luar mahkamah.

"Anak guam bertanggungjawab terhadap isteri yang ada penyakit jantung, dua anak dan dua cucu, selain adalah Senator di Dewan Negara; EXCO Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.

"Anak guam memberi kerjasama dalam siasatan pihak berkuasa sebelum ini dan hadir tanpa dipaksa ke mahkamah hari ini untuk menjawab pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

"Tertuduh tiada potensi melarikan diri atau enggan mengikut kehendak serta perintah khususnya kehadiran ke mahkamah," katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin lalu, Razali memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan dipercayai palsu terhadap SPRM dalam ceramah pilihan raya.

Percakapan berkenaan diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang turut dihadiri peguam bela Razali, Nizam Amin.

Ketua Penerangan BERSATU itu menegaskan memberi kerjasama yang baik kepada pegawai siasatan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Pada 15 November lalu, SPRM membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

Dalam hantaran berkenaan, Razali didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas Syed Saddiq.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris (empat kanan) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi tadi. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris (empat kanan) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi tadi. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X