Jumaat, 24 November 2023 | 9:49am

91 peratus setuju referendum kembalikan UPSR

KUALA LUMPUR: Walaupun Kementerian Pendidikan sudah memutuskan bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan, masih ramai yang berharap peperiksaan bagi murid Tahun Enam itu diadakan semula.

Berdasarkan tinjauan BH di Facebook Berita Harian Online, sebanyak 91 peratus responden mahu pungutan suara atau referendum diadakan untuk mendapatkan pandangan umum sama ada peperiksaan itu perlu dikembalikan.

Selain itu, lapan peratus responden berpendapat ia tidak perlu diadakan semula dan berpuas hati dengan pendekatan pentaksiran yang diadakan ketika ini, manakala dua peratus lagi memilih untuk mengemukakan cadangan.

Hasil tinjauan itu diperoleh selepas 47 jam isu berkaitan UPSR dimuat baik di Facebook Berita Harian Online setakat 9 pagi ini daripada 427 responden yang mengundi dan memberi pendapat dengan 391 mengundi bersetuju dan 36 mengundi UPSR tidak perlu dikembalikan.

Majoriti pengguna Facebook bersetuju supaya UPSR dikembalikan supaya bukan saja guru, malah ibu bapa dapat menilai prestasi anak mereka.

Pengguna Facebook, Srikandi Jiwa berpandangan, sejak UPSR dimansuhkan pada 2021, murid sekolah rendah seperti hilang arah tuju dan ibu bapa keliru dengan sistem penilaian dan pentaksiran yang dilaksanakan bagi menggantikan UPSR.

"Tiada lagi sistem nombor kedudukan dalam kelas, jadi ibu bapa langsung tak boleh tahu tahap pencapaian anak berbanding rakan sekelas. Jika lemah, segera diperbaiki. Tapi sistem TP (Tahap Penguasaan) ini langsung tak membantu. Mak ayah keliru. Sudahnya pelajaran anak-anak diabaikan saja. Pandai-pandailah sekolah," katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Shazwan berpandangan, UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), kedua-duanya wajar dikembalikan.

Sementara itu tinjauan sama di platform X mendapati 72.4 peratus undian mahu diadakan referendum untuk memastikan sama ada UPSR perlu diadakan semula.

Kelmarin, ruangan Minda Pengarang BH membangkitkan persoalan sama ada satu pungutan suara atau sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk ibu bapa perlu diadakan untuk menamatkan polemik UPSR.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan impak pemansuhan UPSR, menyifatkan tiadanya sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar memohon memasuki MRSM.

Tumpu kurikulum baharu

Terdahulu 28 Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata, UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada desakan pelbagai pihak, termasuk ibu bapa yang mahu satu penanda aras bagi pencapaian anak mereka.

Katanya lagi, kementerian mahu terus beri tumpuan kepada usaha mengukuhkan pentaksiran dalam membangunkan kurikulum baharu persekolahan bermula 2027 yang amat penting, terutama selepas UPSR dan PT3 dimansuhkan, serta mahu memastikan pihak berkepentingan faham matlamat disasarkan pihaknya.

Isu berkaitan UPSR turut dibangkitkan di Dewan Rakyat kelmarin dengan sebahagian ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meminta Kementerian Pendidikan meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya UPSR dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar di sekolah rendah.

Sebahagian calon yang mengambil peperiksaan UPSR, dari Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, memulakan kertas Bahasa Melayu Pemahaman, pada hari pertama peperiksaan UPSR di Kuching pada 24 September 2018. - Foto fail NSTP
Sebahagian calon yang mengambil peperiksaan UPSR, dari Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, memulakan kertas Bahasa Melayu Pemahaman, pada hari pertama peperiksaan UPSR di Kuching pada 24 September 2018. - Foto fail NSTP

MP turut gesa dikaji semula dikembalikan UPSR

Perkara berkaitan dikembalikan UPSR turut dibangkitkan di Dewan Rakyat kelmarin.

Sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang meminta Kementerian Pendidikan meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya UPSR dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar di peringkat sekolah rendah.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, walaupun masih ada peperiksaan tertentu yang dilaksanakan melalui kaedah pentaksiran berasaskan sekolah, KPM wajar mempertimbangkan semua cadangan terbabit.

"Saya difahamkan, masih ada peperiksaan (kaedah sekarang), bukannya langsung tidak ada. Namun, mungkin KPM boleh pertimbang (pelbagai desakan) dan buat kajian semula.

"Kalau Pengerusi MARA sudah berkata begitu (terdapat kesan selepas pemansuhan UPSR), mungkin KPM boleh adakan pertemuan dengan Asyraf Wajdi, mungkin beliau ada data dan telah membuat kajian mengenai perkara ini," katanya kepada BH di Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, Poay Tiong berkata, KPM disarankan supaya lebih terbuka dalam mendengar pandangan pelbagai pihak.

"Saya merasakan KPM boleh, secara terbuka mendengar pandangan (Asyraf Wajdi) dan boleh laksanakan kajian semula, sama ada keputusan untuk mansuhkan UPSR itu baik atau sebaliknya," katanya.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata UPSR perlu dikembalikan mengambil kira trend pelajar ketika ini yang tidak mengambil serius mengenai prestasi akademik disebabkan tidak ada peperiksaan berpusat.

"Saya setuju ada satu peperiksaan berpusat di peringkat sekolah rendah. Dengan adanya peperiksaan seperti UPSR, sekurang-kurangnya pelajar tahu sasaran yang mereka ingin capai, jadi mereka lebih fokus dalam pembelajaran.

"Apa yang kita bimbang, tanpa peperiksaan, motivasi pelajar akan berkurangan, mereka juga tidak belajar secara serius kerana tidak ambil pusing apa yang mahu dicapai jika peroleh prestasi cemerlang," katanya.

Tambah Ikmal Hisham, UPSR memberikan penanda aras tahap penguasaan murid secara holistik, sekali gus amat wajar dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

"Saya lihat pengembalian UPSR ini penting secara keseluruhannya untuk memantau prestasi murid,

Ia bukan hanya penting sebagai satu kaedah tapisan bagi kelayakan masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan MRSM tetapi memastikan pelajar kita tidak tercicir (dalam akademik)," katanya.

Ahli Parlimen, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut menyuarakan pandangan sama, jelasnya pemansuhan sistem peperiksaan termasuk UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat memberikan lebih banyak impak negatif, termasuk menyebabkan pelajar hilang minat belajar.

Ia turut memberi kesan langsung kepada usaha kerajaan melahirkan pelapis golongan profesional dalam pelbagai bidang.

"Jika tidak ada peperiksaan (seperti UPSR) kita tidak tahu sama ada murid ini benar-benar layak atau tidak untuk masuk MRSM atau SBP. Sedangkan institusi ini bermatlamat melahirkan akauntan, peguam dan jurutera. Tetapi jika tidak ada (UPSR) apa kayu ukur sekarang?

"Kita juga tidak mahu murid sekarang tidak fokus belajar hanya disebabkan tidak ada peperiksaan UPSR," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan enggan mengulas lanjut mengenai isu itu.

"Biarlah (Asyraf Wajdi) nak cakap apa. Saya tak nak komen dulu," katanya.

Pada 2021, KPM memutuskan pemansuhan UPSR dan PT3. Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan ketika itu berkata, ia bertujuan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh.

Berita Harian X