Khamis, 23 November 2023 | 9:50pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP

196 warga PDRM ditahan kerana dadah dalam 10 bulan pertama tahun ini - KPN

KUALA LUMPUR: Seramai 196 anggota dan pegawai polis ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata dalam tempoh sama seramai 623 anggota dan pegawai polis ditahan kerja manakala 156 pula digantung kerja.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 5,413 aduan diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman yang mana 4,497 laporan membabitkan pegawai polis.

Razarudin berkata, daripada jumlah itu, 2,841 (52.48 peratus) adalah aduan berkaitan salah laku di bawah kategori integriti.

"Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga pasukan yang didapati terlibat dengan aktiviti salah laku yang boleh menjatuhkan nama baik serta maruah pasukan,"

katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena

Sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras, di sini, hari ini.

Razarudin mengingatkan semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia agar memainkan peranan masing-masing dengan menjalankan kawalan serta pemantauan ke atas pegawai dan anggota yang diselia.

Beliau berkata, berdasarkan kepada prinsip akauntabiliti, penyeliaan dan pemantauan harus dilaksanakan dengan bertunjangkan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai mekanisme check and balance.

Sementara itu, Razarudin berkata, beliau tetap yakin masih ramai anggota dan pegawai PDRM yang mempunyai integriti tinggi meskipun agensi penguatkuasa itu sentiasa terdedah dengan pelbagai tuduhan mahupun tohmahan yang mencabar kredibiliti pasukan. – BERNAMA

Berita Harian X