Khamis, 23 November 2023 | 5:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Ahli Parlimen sokong teliti semula cadangan kembalikan UPSR

KUALA LUMPUR: Sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar di peringkat sekolah rendah.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), berkata walaupun masih ada peperiksaan tertentu dilaksanakan melalui kaedah pentaksiran berasaskan sekolah, namun KPM wajar mempertimbangkan semua cadangan terbabit.

"Saya difahamkan, masih ada peperiksaan (kaedah sekarang), bukannya langsung tiada. Namun, mungkin KPM boleh pertimbang (pelbagai desakan) dan buat kajian semula.

"Kalau Pengerusi MARA (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) sudah berkata begitu (terdapat kesan selepas pemansuhan UPSR), mungkin KPM boleh adakan pertemuan dengan Asyraf Wajdi, mungkin beliau ada data dan membuat kajian mengenai perkara ini," katanya kepada BH di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan berkata, ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, UPSR perlu dikembalikan mengambil kira trend pelajar ketika ini yang tidak mengambil serius mengenai prestasi akademik disebabkan tidak ada peperiksaan berpusat.

"Saya setuju ada satu peperiksaan berpusat di peringkat sekolah rendah, dengan adanya peperiksaan seperti UPSR sekurang-kurangnya pelajar tahu sasaran yang mereka ingin capai, jadi mereka lebih fokus dalam pembelajaran," katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) yang turut menyuarakan pandangan sama berkata, pemansuhan sistem peperiksaan termasuk UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat memberikan lebih banyak impak negatif, termasuk menyebabkan pelajar hilang minat belajar.

"Ia turut memberi kesan langsung kepada usaha kerajaan melahirkan pelapis golongan profesional dalam pelbagai bidang. Jika tiada peperiksaan (seperti UPSR), kita tidak tahu sama ada murid ini benar-benar layak atau tidak untuk masuk MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

"Sedangkan institusi ini bermatlamat melahirkan akauntan, peguam dan jurutera. Tetapi jika tidak ada (UPSR) apa kayu ukur sekarang?. Kita juga tidak mahu murid sekarang tidak fokus belajar hanya disebabkan tiada peperiksaan UPSR," katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang juga bekas Menteri Pendidikan enggan mengulas lanjut mengenai isu itu.

"Biarlah (Asyraf Wajdi) nak cakap apa, saya tak nak komen dulu," katanya.

Pada 2021, KPM memutuskan pemansuhan UPSR dan PT3. Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan ketika itu berkata, ia bertujuan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh.

Berita Harian X