Khamis, 23 November 2023 | 5:15pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

'UPSR tidak perlu, bukan semua nak masuk MRSM, SBP'

KUALA LUMPUR: Sekolah yang mahu membuat pengambilan murid cemerlang bidang tertentu atau khusus, disaran menyediakan ujian khas yang berkaitan dengan skop berkenaan, sebagai syarat pengambilan kemasukannya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang mahukan murid cemerlang akademik dalam sains, boleh mewujudkan ujian khas dalam bidang itu sahaja.

Beliau berkata, begitu juga institusi pendidikan lain seperti sekolah sukan yang mahu mengambil pelajarnya, boleh mengendalikan ujian dalam bidang berkaitan untuk mengenal pasti mereka yang layak dan berbakat.

"Menerusi pendekatan khas itu, murid yang berminat dengan sekolah berkenaan, boleh mendaftar diri, seterusnya mengambil ujian yang disediakan.

"Ini kerana tidak semua murid mahu ke sekolah khas sedemikian. Jadi kenapa kita perlu memaksa semua murid mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Bagi saya, semua sekolah khusus termasuk sekolah berasrama penuh, MRSM, sekolah sukan, teknik dan vokasional boleh mengadakan ujian mereka sendiri, yang memberi fokus kepada tujuan pemilihan kemasukan ke situ," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kelmarin, yang mengatakan ketiadaan sistem berpusat UPSR menjadikan MRSM sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

Beliau dilaporkan berkata, ketiadaan UPSR juga antara faktor kepada pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah.

Mengulas lanjut Anuar berkata, dari segi prinsip umum tidak semua murid memerlukan peperiksaan, kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat yang menyeronokkan.

Selain itu katanya, ia perlu menjadi tempat yang tidak memberi sebarang tekanan kepada murid, guru boleh mengajar dengan tenang, malah ibu bapa boleh berkomunikasi dengan guru untuk tahu perkembangan anak-anak mereka.

"Jika melihat kepada matlamat pendidikan, yang pertama adalah memberikan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta murid perlu menguasainya dengan baik termasuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa ibunda masing-masing.

"Kedua tujuan matlamat pendidikan sekolah rendah adalah mencungkil potensi dan melengkapkan diri dengan adab, moral keagamaan dan mengenali kekuatan diri masing-masing.

"Oleh itu bagi saya, di sekolah rendah tidak wajar mengadakan ujian UPSR yang berpusat semata-mata untuk mengenal siapa murid terpandai kerana sebenarnya di peringkat muda, bukan hendak mencari murid terpandai, kita mahu mencari apa yang terbaik dalam diri setiap murid," katanya.

Beliau berkata, situasi itu berbeza dengan peringkat sekolah menengah yang memang bermatlamat untuk mencari pelajar terbaik untuk dimasukkan ke universiti atau bidang dan aliran tertentu.

Katanya, jika pelajar pandai dalam sains, mereka boleh masuk aliran berkenaan, jadi memilih murid yang terbaik adalah di peringkat sekolah menengah dan bukan di sekolah rendah.

"Di sekolah rendah, kita hendak mencungkil bakat atau mencari apa yang terbaik dalam setiap murid, jadi tidak boleh bezakan hanya kerana mereka tidak cemerlang dalam akademik, sedangkan murid itu cemerlang dalam bakat atau potensi lain.

"Saya fikir biar sekolah rendah itu menjadi satu tempat untuk anak-anak kita membina diri, membina potensi, bakat mereka dan tidak perlu sejak awal mengkategorikan mereka lemah, gagal dan sebagainya.

"Ini antara sebab saya bersetuju dengan pemansuhan UPSR," katanya.

Namun katanya, pemansuhan UPSR tidak bermaksud di sekolah rendah tiada penilaian langsung kerana pentaksiran masih berjalan tetapi bentuknya bukan dalam peperiksaan tetapi berbentuk pentaksiran bilik darjah, ujian bulanan dan akhir sesi akademik yang dilaksanakan di peringkat sekolah," katanya.

Berita Harian X