Khamis, 23 November 2023 | 4:33pm
Zafrul pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dekat Banda Hilir, hari ini. - Foto Bernama
Zafrul pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dekat Banda Hilir, hari ini. - Foto Bernama

Pematuhan terhadap NIMP 2030 bantu bawa perubahan positif kepada pelaburan di Melaka

MELAKA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap supaya tiga kawasan perindustrian baharu yang akan dibangunkan kerajaan negeri Melaka dapat mengutamakan misi, strategi dan pelan tindakan yang digariskan di dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia bagi membawa perubahan positif kepada sektor perindustrian Melaka selain mematuhi Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Industri Nasional (i-ESG) yang baharu dilancarkan pada Oktober bagi membantu momentum peralihan negara kepada kemampanan dan pencapaian pelepasan karbon sifar bersih.

"Salah satu pembentangan oleh MITI semasa mesyuarat tadi adalah mengenai NIMP 2030 iaitu bagaimana dasar baharu ini diselaraskan dengan keperluan pembangunan perindustrian negeri Melaka bagi meningkatkan pertumbuhan industri dan menambahbaik ekosistem pelaburan.

"Pembentangan mengenai NIMP ini adalah bersesuaian dengan cadangan yang diketengahkan oleh kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu di MCORP Hi-Tech Park, German Industrial Park dan Elkay Industrial Park Fasa 2 (ELKAY 2), serta mengiktiraf Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) sebagai Koridor Wilayah Ekonomi Negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan kawasan-kawasan perindustrian yang mampu menyokong ekosistem industri berteknologi tinggi, berinovasi dan menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi sangat dialu-alukan kerana selari dengan visi dan matlamat NIMP 2030 yang dilancarkan oleh MITI pada 1 September lalu.

Beliau berkata, NIMP 2030 juga dirangka antaranya bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan dalam pembangunan industri antara negeri-negeri di Malaysia, termasuk Melaka.

"Kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam membangunkan industri berdasarkan kekuatan ekonomi negeri dan bekerjasama dengan MITI dan kementerian-kementerian yang lain untuk mengukuhkan kluster-kluster ekonomi yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi yang lebih besar.

"MITI akan terus mengukuhkan kerjasama dengan semua kerajaan negeri termasuk melalui platform JBI dalam merancang program-program pembangunan industri dan galakan eksport, memperhalusi cadangan baharu dalam mempertingkatkan pelaburan serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata mesyuarat antara kerajaan negeri dan MITI serta agensi-agensi dan kementerian-kementerian pada mesyuarat berkenaan memberi keputusan baik kepada Melaka untuk mengorak langkah memperkenalkan kawasan-kawasan perindustrian baharu.

Ia juga dapat memastikan perancangan dibuat kerajaan negeri mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan Persekutuan terutama untuk memajukan M-WEZ, katanya.

"Kita memerlukan sokongan daripada semua agensi-agensi kerajaan (Persekutuan) dan Kementerian bagi merealisasikan atau ibu kota baharu Melaka (iaitu M-WEZ) ini menjadi kenyataan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X