Khamis, 23 November 2023 | 4:19pm
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat.

"Ketidakcekapan tadbir urus punca pembaziran dan ketirisan" - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Pembaziran dan ketirisan yang berlaku dalam pengurusan dana awam, bukan hanya berpunca daripada penyelewengan tetapi turut membabitkan ketidakcekapan dalam tadbir urus.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata pihaknya mengambil maklum teguran dan pendedahan yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mengenai jumlah kehilangan atau kerugian wang awam.

Sehubungan itu katanya, semua ketua jabatan perlu sentiasa melaksanakan penambahbaikan dalam urus tadbir terutama dalam hal membabitkan dana awam.

"Walaupun tiada unsur penyelewengan, kita tidak mahu dana awam ini dibazirkan hanya kerana kelemahan tadbir urus.

"Rakyat sentiasa memandang dan menilai setiap apa yang berlaku dan ianya akan memberi kesan kepada keseluruhan perkhidmatan awam walaupun kesilapan tersebut hanya dilakukan oleh sebilangan kakitangan," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai LKAN 2022 yang mendapati, sejumlah RM681.71 juta dana awam direkodkan hilang serta rugi selepas kegagalan enam program.

Ia membabitkan kegagalan pengurusan program padi yang berjumlah RM660.14 juta; pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta) dan pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).

Katanya, CUEPACS meminta semua kementerian terutama ketua jabatan masing-masing meneliti secara serius setiap teguran yang dilaporkan dalam LKAN terutama membabitkan soal perbelanjaan, ketirisan atau apa jua perkara yang tidak menepati peraturan.

"Perkara ini perlu diteliti dengan serius supaya semua kesalahan yang disebut itu dapat diambil tindakan sewajarnya dan tidak terus dilakukan pada masa akan datang.

"Tindakan untuk membetulkan semula kesalahan yang berlaku termasuk secara hukuman, wajar dilakukan bagi memastikan ia tidak berulang dan mengurangkan kerugian dana awam," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjadi agensi utama bagi memastikan tindakan dan pembaikan serta pemantauan bagi setiap isu di kementerian dan agensi.

Katanya, perkara itu akan dilakukan melalui sesi libat urus bersama pihak-pihak berkaitan secara berkala termasuk pihak media.

"Penjawat awam juga sentiasa diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan telus mengikut garis panduan yang ditetapkan serta melaksanakan penambahbaikan terhadap prosedur lapok dan tidak berkesan yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam pentadbiran dan kewangan.

"Tindakan akan diambil terhadap penjawat awam jika didapati mereka terbabit dalam isu yang dibangkitkan dalam LKAN," katanya.

Berita Harian X