Khamis, 23 November 2023 | 4:08pm
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Tangan Emas kepada Pelajar Kolej Vokasional Kajang bidang Automobil Teknologi, Hayatun Nufus Roshisam (kanan) pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini - Foto BERNAMA

Pelajar GiatMARA, pengajar IKM dinobatkan sebagai penerima ATEPM 2023

SHAH ALAM: Seorang pelajar GiatMARA dan tenaga pengajar Institut Kemahiran MARA (IKM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (ATEPM) edisi 2023.

Muhammad Hakimi Abu Bakar dari GiatMARA Kota Bharu, Kelantan diumumkan sebagai penerima anugerah terbabit bagi kategori Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) di atas kecemerlangannya dalam bidang pemasangan elektrik.

Manakala Mohd Fairuz Hamdzah dari IKM Lumut dipilih di atas kejayaannya dalam bidang mengecat kenderaan bagi kategori Pertandingan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP).

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala ATEPM yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan ATEPM edisi 2022 kepada pelajar Kolej Vokasional Kajang, Hayatun Nufus Roshisam, dalam bidang teknologi automobil bagi kategori WSMB dan Mohd Nazeri Abdol dari Kolej PERHEBAT bagi kategori WSMP.

Mereka juga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bersama piala.

Selain itu, penganjuran ATEPM 2023 menyaksikan buat julung kalinya Anugerah Tokoh Mahir diperkenalkan dengan pakar automatif, Datuk Shamsuddin Amran, dinobatkan sebagai penerima pertama anugerah berkenaan.

Beliau dipilih menerima anugerah itu di atas sumbangan dan pencapaiannya dalam pembangunan latihan kemahiran yang melahirkan kira-kira 100 mekanik setiap tahun sejak 15 tahun lalu.

Bertugas sebagai Ketua Operasi Selepas Jualan Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Shamsuddin turut berjaya melahirkan pekerja dalam bidang automatif bermula dari peringkat sijil hingga diploma.

Shamsuddin ketika ditemui berkata, pihaknya kini membangunkan program skim perantis dengan menyasarkan kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Mahir kepada Ketua Operasi Bermaz Auto Berhad, Datuk Shamsuddin Haji Amran pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan TVET di Shah Alam Convention Centre - Foto NSTP/GENES GULITAH

Katanya, skim itu ditawarkan secara percuma kerana mahu membantu golongan belia untuk diberikan peluang kedua.

"Ini antara tanggungjawab sosial kami untuk menawarkan peluang kedua kepada generasi muda supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pendidikan," katanya.

Berita Harian X