Khamis, 23 November 2023 | 4:04pm
Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah sempena Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah sempena Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Al-Sultan Abdullah zahir rasa syukur atas sokongan keluarga

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan keluarganya sepanjang lima tahun menjawat jawatan tertinggi negara itu.

Seri Paduka ketika bertitah pada Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang diadakan di Istana Negara, di sini turut menyuarakan rasa terharunya di atas kasih sayang yang diberikan keluarganya sejak menaiki tahta sebagai Sultan Pahang, sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

"Memang pada permulaannya agak mengejut dan begitu tidak diduga, tidak sangka untuk memegang jawatan secepat begini. Alhamdulillah dengan anugerah keberkatan Allah SWT, semuanya berjalan dengan sebaik mungkin.

"Sokongan dan dorongan yang dipamerkan oleh semua adik-beradik dan anakanda saya begitu disanjungi dan mudah-mudahan kita semua diberkati Allah," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut berkongsi beberapa kenangan manis dan pahit sepanjang lima tahun Seri Paduka berada di Kuala Lumpur yang boleh dikenang sebagai telah merapatkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan kerabatnya.

"Sudah tentu banyak kenangan manis dan pahit. Antaranya ialah keluarga kita kehilangan ayahanda pada 2019 dan ini sedikit sebanyak membuat kita begitu sedih...Kenangan manis sepanjang lima tahun ini, saya dapat empat cucu dan beberapa cucu saudara.

"Dengan berkat kesatuan kekanda dan adinda, kita berjaya untuk sentiasa bersama di setiap program kekeluargaan dan majlis di istana," titah Seri Paduka yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berjaya mentadbir Pahang dengan berjaya selama ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke istiadat hari ini.

Pada istiadat itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) kepada Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Haji Ahmad Shah dan isterinya, Cik Puan Nur Bahiyah Mohamad Akip.

Darjah SIMP juga dikurniakan kepada Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahad Mua'adzam Shah yang turut menerima Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Selain Tengku Fahad, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan SSAP kepada Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Tengku Puan Sri Muhaini, Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Datuk Nong Fatimah dan Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Datuk Shahariah.

Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Datuk Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini dan Juruiring Polis Seri Paduka, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Azani Omar serta Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kepada Penasihat Undang-Undang Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Putra Taha. -- BERNAMA

Berita Harian X