Khamis, 23 November 2023 | 3:49pm
Anggota bomba memantau keadaan banjir kilat yang melanda Rumah Panjang Judan Selin di Marudi, hari ini. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba memantau keadaan banjir kilat yang melanda Rumah Panjang Judan Selin di Marudi, hari ini. - Foto ihsan JBPM

Rumah panjang di Marudi dilanda banjir kilat

KUCHING: Sebuah rumah panjang di Marudi dalam Bahagian Miri dinaiki air kira-kira 0.4 meter akibat limpahan air longkang selepas hujan lebat sejak semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11 pagi memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi iaitu Rumah Panjang Judan Selin didapati banjir kilat berlaku akibat limpahan air longkang, kiri dan kanan jalan.

"Limpahan air menghala ke anak sungai berhampiran dan banjir dijangka surut sepenuhnya dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemantauan di rumah panjang berhampiran mendapati air naik antara 0.3 sehingga 0.4

meter di dalam rumah.

"Tiada operasi pemindahan dijalankan berikutan pergerakan air ke sungai agak laju dan paras air didapati mula menurun.

"Bagaimanapun, penduduk dinasihatkan supaya bertindak segera jika air naik semula," katanya.

Berita Harian X