Khamis, 23 November 2023 | 3:24pm

Warga emas ditahan lakukan amang seksual kanak-kanak di PPS

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang warga emas yang juga mangsa banjir dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kuala Nerus, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya menahan suspek berusia 61 tahun di PPS terbabit untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, penahanan suspek berikutan hasil dua laporan polis yang dibuat keluarga dua kanak-kanak itu di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

"Suspek kini ditahan dan akan mendapatkan perintah reman di mahkamah, hari ini bagi membolehkan pegawai penyiasat melakukan siasatan lebih lanjut.

"Siasatan awal kita dapati, suspek dan dua mangsa adalah mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah PPS sama susulan rumah mereka dinaiki air.

"Suspek dikatakan mengajak mangsa kononnya mahu mengulangkaji pelajaran sebelum dipercayai melakukan perbuatan itu terhadap dua kanak-kanak berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Mazli berkata, pihaknya juga mendapati kejadian itu disedari keluarga kedua-dua mangsa selepas dimaklumkan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

"Sebelum ini, kita memang sudah menempatkan anggota keselamatan di setiap PPS bagi menjaga keselamatan semua mangsa banjir.

"Susulan kejadian ini, kita mengarahkan pasukan keselamatan di semua PPS untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Malah, disamping pemantauan pasukan keselamatan kita juga menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing sepanjang berada di PPS dengan tidak terlalu bebas," katanya.

Berita Harian X