Khamis, 23 November 2023 | 11:19am
Ahmad Said bersama pemimpin BN dan Pakatan Harapan dalam majlis ceramah di Seberang Tayor malam tadi
Ahmad Said bersama pemimpin BN dan Pakatan Harapan dalam majlis ceramah di Seberang Tayor malam tadi

Kemaman akan jadi anak emas, jika kembali ke pangkuan BN - Mat Said

CHUKAI: Kawasan Parlimen Kemaman akan menjadi 'anak emas' sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 2 Disember ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berharap rakyat Kemaman dapat mengembalikan semula Parlimen Kemaman ke pangkuan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Kita ada lapan kawasan Parlimen di Terengganu, jadi kita minta tolong semua pengundi supaya kembalikan semula Kemaman ke pangkuan BN pada 2 Disember depan.

"Jika kita menang, Kemaman akan menjadi 'anak emas' kerana satu-satunya menang. Malah, bukan itu saja, Tuhan maha kaya sama ada kebetulan atau tidak Parlimen Kemaman P.040, Parlimen yang ke-40 negara kita.

"UMNO (BN) kalah empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis...(kalah) 40 kerusi Parlimen, UMNO kosong...jadi nak mitok se jer kerusi Kemaman (mahu minta satu sahaja kerusi Kemaman)," katanya ketika ceramah kempen PRK Kemaman di Seberang Tayor, malam tadi.

Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, berkata BN mempertaruhkan calon terbaik, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menjaga rakyat Kemaman.

Beliau berkata, calon BN yang ditampilkan adalah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beliau mampu menjaga rakyat Kemaman.

"Saya harap, PRK kali ini rakyat akan memberikan undi dan pastikan calon BN menang demi orang Kemaman," katanya yang dilantik sebagai Pengarah Jentera BN.

Pada PRK itu, Raja Mohamed Affandi akan ditentang calon PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

PRK Kemaman diadakan semula susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU-15.

Berita Harian X