Khamis, 23 November 2023 | 8:51am
Kawasan rendah di Kampung Tersang, Rantau Panjang, yang berada di pinggir Sungai Golok mula di naiki air akibat hujan berterusan sejak dua hari. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kawasan rendah di Kampung Tersang, Rantau Panjang, yang berada di pinggir Sungai Golok mula di naiki air akibat hujan berterusan sejak dua hari. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penempatan rendah di Rantau Panjang dilanda banjir

RANTAU PANJANG: Beberapa penempatan rendah di Rantau Panjang mula dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Golok, sejak malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin, berkata antara penempatan yang sudah dinaiki air ialah Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol, Kampung Tasek Bakong, Kampung Kusar, Kampung Putat Tujuh serta Jalan Pengkalan Rakit dan Jalan Pengkalan Telok, di sini.

Katanya, keadaan itu berlaku berikutan hujan lebat beberapa hari lalu, selain limpahan sungai Golok akibat aliran air dari kawasan hulu di Jeli dan Tanah Merah.

"Semua kampung dan jalan terbabit adalah kawasan rendah yang hampir setiap tahun menjadi lokasi terawal dilanda bah. Malah, JBPM sendiri sentiasa memantau penempatan berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat.

"Kami bersedia 24 jam sepanjang musim banjir bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan serta memastikan rondaan berkala dijalankan, terutama di kampung yang sudah dilanda banjir.

"Penduduk harus berwaspada serta mengambil langkah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau tempat selamat jika paras air naik mendadak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya dengan bacaan 9.09 meter, setakat jam 8.15 pagi ini.

Zainal berkata, bagaimanapun jalan utama ke pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui dan difahamkan operasi perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Berita Harian X