Khamis, 23 November 2023 | 7:42am

Pungutan suara mampu tamat polemik mansuh UPSR

Nampaknya polemik mengenai keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak 2021 masih berlarutan. Sebelum ini, kelompok mahukan supaya UPSR dikembalikan tertumpu kepada ibu bapa, diikuti keputusan kerajaan Sarawak mahu mewujudkan peperiksaan ala UPSR sebagai penanda aras menilai prestasi murid.

Semalam, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula membangkitkan impak pemansuhan UPSR dengan menyifatkan ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar memohon memasuki sekolah berkenaan.

Nah, apabila 'orang kuat' MARA sendiri akhirnya tampil mempersoalkan secara terbuka implikasi pemansuhan UPSR, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan dibuat KPM sebelum ini. Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO turut mendakwa, antara faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan ketiadaan UPSR.

Apakah isyarat cuba disampaikan Asyraf Wajdi kepada kerajaan, khususnya Menteri Pendidikan, Dr Fadhlina Sidek berhubung polemik UPSR ini? Sama ada ia mungkin pandangan peribadinya atau sekadar hendak memancing maklum balas awam, ia bergantung kepada persepsi umum.

Sebahagian calon yang mengambil peperiksaan UPSR, dari Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, memulakan kertas Bahasa Melayu Pemahaman, pada hari pertama peperiksaan UPSR di Kuching pada 24 September 2018. - Foto fail NSTP
Sebahagian calon yang mengambil peperiksaan UPSR, dari Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, memulakan kertas Bahasa Melayu Pemahaman, pada hari pertama peperiksaan UPSR di Kuching pada 24 September 2018. - Foto fail NSTP

Namun, jika membaca komen warga maya menerusi media sosial mengulas polemik pemansuhan UPSR, boleh dikatakan rata-rata mereka berharap ujian seperti itu diwujudkan semula sebagai kaedah menilai pencapaian kognitif anak mereka. Antara alasan mereka mengapa UPSR perlu diadakan semula adalah disebabkan anak mereka seperti tiada hala tuju jelas dalam persekolahan.

Ada warga maya mendakwa, anak mereka seperti tiada matlamat atau sasaran untuk berjaya dalam pembelajaran, tidak memiliki kecenderungan menelaah dan membaca, mengulang kaji atau membuat latihan di rumah.

Apatah lagi ketika ini ada kajian menunjukkan murid pasca pandemik COVID-19 mengalami ketagihan dengan gajet. Sejauh mana benar dakwaan ini, ia masih boleh diperdebatkan.

Akan tetapi, ia menyerlahkan keresahan ibu bapa terhadap pencapaian akademik anak mereka. Walaupun sekolah mengadakan pentaksiran sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik sebagai sebahagian daripada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), ia tidak dianggap sebagai ujian unggul bagi ibu bapa untuk menilai pencapaian akademik murid sekolah rendah.

Mungkinkah kerajaan Sarawak turut mendapat ilham sama seperti ibu bapa terbabit sehingga mendorong negeri berkenaan mahu mengadakan ujian ala UPSR sendiri bagi menilai prestasi akademik anak negeri itu? Apa yang pasti, pemansuhan UPSR adalah takdir sejarah yang belum dapat 'ditelan' ibu bapa hari ini - generasi yang pencapaian akademiknya dinilai menerusi peperiksaan.

Maka, perlukah diadakan satu pungutan suara atau sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk ibu bapa untuk menamatkan polemik UPSR ini?

Berita Harian X