Khamis, 23 November 2023 | 12:18am
Mohamad Sabu pada satu majlis ceramah sempena kempen PRK Kemaman di Kampung Seberang Tayor Hulu, Kemaman, Terengganu, malam tadi. - Foto FB Mohamad Sabu
Mohamad Sabu pada satu majlis ceramah sempena kempen PRK Kemaman di Kampung Seberang Tayor Hulu, Kemaman, Terengganu, malam tadi. - Foto FB Mohamad Sabu

PRK Kemaman: PH bersama-sama jadi tunjang bantu calon BN

CHUKAI: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan bersama-sama menjadi tunjang utama dalam membantu calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merampas kembali kubu kuat UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata PH mempunyai keyakinan perubahan itu boleh tercetus pada PRK Kemaman, sekali gus mewujudkan wakil daripada Terengganu di blok kerajaan.

"Kita yakin perubahan bermula di Terengganu dan ombak di Kemaman ni akan sampai ke Besut dan BN yang sedang membina kekuatan semula akan terus kuat.

"Insya-Allah, orang Melayu akan yakin dengan perjuangan UMNO dan kami akan membantu, daripada PKR, PH akan bantu kekuatan utama untuk pulihkan Terengganu.

"Saya yakin Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita kekal memerintah Kerajaan Perpaduan...kita mahu kerajaan kita teguh, kita mahu di negeri Melayu ini ada wakil rakyat di peringkat Parlimen.

"Kita mahu salah satu yang duduk belah kita ini daripada Ahli Parlimen Kemaman," katanya pada satu majlis ceramah sempena kempen PRK Kemaman di Seberang Tayor, Kijal dekat sini, malam tadi.

Pada PRK itu, Raja Mohamed Affandi berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 November ini bagi pengundian awal dan 2 Disember sebagai hari mengundi.

- BERNAMA

Calon BN, PRK Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua kiri) membantu memasang bendera parti bersama penyokong ketika berkempen di Kampung Chabang. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Berita Harian X