Rabu, 22 November 2023 | 10:18pm
Prof Datuk Dr Razli Che Razak dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi tempoh setahun berkuat kuasa Jumaat ini hingga 23 November 2024. - Foto BERNAMA
Prof Datuk Dr Razli Che Razak dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi tempoh setahun berkuat kuasa Jumaat ini hingga 23 November 2024. - Foto BERNAMA

Dr Razli dilantik semula Naib Canselor UMK

KUALA LUMPUR: Prof Datuk Dr Razli Che Razak dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi tempoh setahun berkuat kuasa Jumaat ini hingga 23 November 2024.

Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Operasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik pertama kali sebagai Naib Canselor UMK pada 1 Mac 2022.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pelantikan semula itu bagi membolehkan Razli meneruskan perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang digariskan untuk memacu UMK sebagai sebuah universiti berteraskan kepada pendidikan keusahawanan dan perusahaan.

"KPT yakin dengan pelantikan semula Razli sebagai Naib Canselor dapat memperkasa dan melahirkan modal insan negara yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang dalam memastikan ekonomi negara kukuh dan berdaya saing," menurut kenyataan berkenaan.

Selain itu, KPT turut memaklumkan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin serta Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Kaharuddin Dimyati, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) USM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM.

Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.

- BERNAMA

Berita Harian X