Rabu, 22 November 2023 | 9:26pm

Mr H kekal misteri, tak muncul di Balai Polis Presint 11

PUTRAJAYA: Identiti 'Mr H' kekal misteri selepas individu dikaitkan video perbualan lucah didakwa membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, tidak muncul untuk memberi keterangan di sini, petang tadi.

Lebih 20 petugas media yang menantikan kehadiran beliau di perkarangan Balai Polis Presint 11 di sini, sejak jam 4 petang, pulang hampa selepas dimaklumkan individu itu tidak hadir.

Malah, menurut sumber sesi mengambil keterangan Mr H yang dijadualkan pada jam 5.30 petang tadi, ditangguhkan dan kemungkinan dilakukan esok, di lokasi lain.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata keterangan Mr H akan diambil di Balai Polis Presint 11, Putrajaya.

Katanya, setakat ini seramai tiga saksi sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa saksi lain akan diambil keterangan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Malah, beliau memaklumkan polis masih belum menerima laporan daripada pembantu pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berkaitan video perbualan lucah dikaitkan dengannya.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Wahab mendakwa, diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai 'Mr H' untuk merakam perbualan bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Katanya, dia merakam perbualan video berkenaan, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee, pula dilaporkan menegaskan kepada BH beliau bukan Mr H.

Antara wakil media menunggu ketibaan 'Mr H' yang dijadual memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, jam 5.30 petang tadi. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Antara wakil media menunggu ketibaan 'Mr H' yang dijadual memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, jam 5.30 petang tadi. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X