Rabu, 22 November 2023 | 6:21pm
Sebahagian daripada pihak media menunggu ketibaan 'Mr H' bagi membantu siasatan kes bekas Ketua Pengarah J-KOM yang dikatakan akan memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya. -NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Sebahagian daripada pihak media menunggu ketibaan 'Mr H' bagi membantu siasatan kes bekas Ketua Pengarah J-KOM yang dikatakan akan memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya. -NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kelibat 'Mr H' belum muncul

PUTRAJAYA: Lebih 20 pengamal media berkampung di Balai Polis Presint 11 di sini, bagi menunggu kehadiran 'Mr H' yang dikaitkan dengan video perbualan lucah membabitkan individu didakwa bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pengamal media mula berkumpul di sini sejak jam 4.30 petang tadi sebaik mendapat maklumat bahawa individu terbabit akan diambil keterangan di balai polis berkenaan.

Namun, setakat jam 5.54 petang tadi, kelibat Mr H masih belum dapat dikenal pasti dan identiti individu terbabit masih belum diketahui.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Mr H akan diambil keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya, pada jam 5.30 petang hari ini.

Setakat ini, tiga saksi sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa saksi lain akan diambil keterangan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Media juga sebelum ini melaporkan Abdul Wahab mendakwa diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai 'Mr H' untuk merakam perbualan bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Katanya, dia merakam perbualan video berkenaan, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee menegaskan, beliau bukan Mr H seperti yang didakwa.

Berita Harian X