Rabu, 22 November 2023 | 4:31pm
Datuk Seri Ahmad Said (kanan) ketika hadir proses penamaan calon PRK Parlimen Kemaman yang menyaksikan pertembungan di antara calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) dan Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili PN. - BERNAMA/FOTO FAIL
Datuk Seri Ahmad Said (kanan) ketika hadir proses penamaan calon PRK Parlimen Kemaman yang menyaksikan pertembungan di antara calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) dan Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili PN. - BERNAMA/FOTO FAIL

'Tugas Menteri Besar itu sibuk...' - Ahmad Said

CHUKAI: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta pengundi di kawasan Parlimen Kemaman memberi peluang kepada calon yang betul-betul mahu berkhidmat dan punya masa secukupnya supaya segala isu membelenggu penduduk mahupun perancangan pembangunan dapat diangkat ke Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO negeri, yakin calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bukan sahaja menepati kriteria itu, malah dapat mewakili penduduk Kemaman dengan sebaik-baiknya.

Ahmad yang pernah mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, antara empat kerusi DUN di Parlimen Kemaman, turut mempersoalkan sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dipilih PAS dan Perikatan Nasional (PN) sebagai calon di situ, dapat membuat perkara sama berdasarkan rekod prestasi beliau selama ini.

"Tugas sebagai Menteri Besar itu sibuk, apatah lagi kalau ditambah dengan jawatan Ahli Parlimen. Sebelum ini pun dia (Samsuri) pernah tiada dalam negara ketika Terengganu dilanda banjir.

"Menteri Besar tidak akan dapat menjaga empat kawasan DUN dalam Parlimen Kemaman ini," dakwanya ketika ditemui BERNAMA, baru-baru ini.

PRK Kemaman yang akan dilangsungkan 2 Disember depan dengan pengundian awal pada 28 November, menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Menteri Besar Terengganu yang juga ADUN Ru Rendang.

Berbeza dengan PAS, Ahmad berkata, BN telah mengambil satu pendekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila menampilkan bekas pemimpin tertinggi pentadbiran kerajaan sebagai calon langsungnya.

"Tak pernah berlaku sebelum ini 'top five' (pemimpin tinggi dalam pentadbiran kerajaan) dalam Malaysia. Inilah pertama kali diberi ruang untuk bertanding dan beliau menyambut cabaran itu untuk meneruskan perjuangan beliau.

"Kita nak minta orang Kemaman memilih kita kali ini untuk mewakili satu daripada lapan kawasan Parlimen yang ada di Terengganu. Sekarang ini lapan Parlimen dimenangi oleh PAS, apa rakyat dapat?" katanya. - BERNAMA

Berita Harian X