Rabu, 22 November 2023 | 4:06pm

'Kerajaan tak berhasrat batal persembahan artis luar negara, termasuk konsert Coldplay'

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak berhasrat membatalkan persembahan hiburan membabitkan artis luar negara, termasuk konsert Coldplay yang akan berlangsung malam ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata adalah tidak adil untuk kementerian mengambil tindakan sedemikian, walaupun mendapat gesaan pelbagai pihak.

"Saya nak jawab mengenai konsert Coldplay yang disebut oleh ramai Yang Berhormat. Tahukah anda, Coldplay baru sahaja mengadakan konsert di Jakarta, 15 November lalu, rakyat di sana paling ramai Muslim, tetapi masih beri keizinan untuk diadakan konsert.

"Tetapi di Malaysia, kita tak benarkan Coldplay (buat konsert) di sini. Kami sudah jelaskan pada semua artis dalam dan luar negara, kalau berhasrat nak datang (ke Malaysia) perlu hormat kedaulatan undang-undang dan kebudayaan negara.

"Ini adalah pendirian KKD dan Kerajaan Madani. Saya percaya tidak kira sesiapa jadi kerajaan akan menyokong pendirian sedemikian," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi KKD di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran konsert berkenaan tidak bermakna kerajaan tidak menyokong solidariti untuk Palestin.

"Saya percaya nak tunjukkan solidariti kepada Palestin ada banyak cara. Ada yang pilih boikot restoran makanan segera terkenal, tetapi tak boikot Facebook, Mercedes. Saya harap yang beli tiket (Coldplay), dapat menikmati konsert itu, yang tak suka, tak minat dan tak beli tiket, tidak perlulah kacau," katanya.

Nie Ching turut menegaskan, KKD dalam usaha menambah baik garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi memastikan insiden tidak diingini sebagaimana kes membabitkan kumpulan The 1975 berulang.

"Bagi 2023, PUSPAL sudah meluluskan 296 konsert membabitkan artis luar negara.

"Di antara semua persembahan setakat ini, ada satu insiden yang amat mendukacitakan iaitu membabitkan kumpulan 1975. Mereka melanggar peraturan persembahan yang tertakluk dalam garis panduan PUSPAL seperti minum arak, terdapat aksi terlampau dan memperlekeh undang-undang negara.

"Sehubungan itu, kita juga sedang dalam usaha menambah baik garis panduan PUSPAL cetakan kelima untuk pastikan insiden ini tidak berulang," katanya.

Sepanjang sesi penggulungan itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut mencelah antaranya Datuk Seri

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang membantah pendirian kementerian dalam isu membenarkan kemasukan artis luar negara.

"Kerajaan tak boleh buat begitu, siapa nak tengok (konsert) boleh datang. Ini tanggungjawab kerajaan untuk pastikan nilai moral yang tinggi dalam kalangan rakyat.

"Kita tahu latar belakang sesebuah kumpulan, ada sebahagiannya yang mempromosikan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Saya kira kumpulan yang mempromosikan perkara negatif perlu disekat supaya tidak timbul polemik. Kita bukan hentam penganjuran konsert, tetapi (menolak) yang bercanggah dengan agama," katanya.

Nie Ching turut menjawab cadangan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pada sesi perbahasan supaya KKD mengambil alih Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berikutan peranannya ketika ini dilihat kurang berkesan.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Mei 2021 ketika Yang Berhormat Pagoh (menjadi Perdana Menteri), keputusan dibuat untuk pindahkan J-KOM ke Jabatan Perdana Menteri. Menteri (Komunikasi dan Multimedia) ketika itu adalah Yang Berhormat Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah).

"Jadi saya rasa soalan ini lebih sesuai ditujukan kepada dua orang Ahli Parlimen ini," katanya.

Berita Harian X