Rabu, 22 November 2023 | 3:59pm
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera ketika sesi Wawancara Pemuda Barisan Nasional (BN) - Guane Gamok Oghang Muda yang disiarkan menerusi akaun Facebook BN. - Foto ihsan Pemuda UMNO Terengganu
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera ketika sesi Wawancara Pemuda Barisan Nasional (BN) - Guane Gamok Oghang Muda yang disiarkan menerusi akaun Facebook BN. - Foto ihsan Pemuda UMNO Terengganu

PRK Kemaman: Ketua Pemuda UMNO Terengganu cabar Samsuri

CHUKAI: Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dicabar menyatakan tempoh masa dan komitmen yang boleh diberikan menghadiri sidang Dewan Rakyat sekiranya terpilih menjadi Ahli Parlimen Kemaman.

Cabaran itu dilontarkan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera ketika Wawancara Pemuda Barisan Nasional (BN) - Guane Gamok Oghang Muda yang disiarkan menerusi akaun Facebook BN.

Tengku Haphiz berkata, persidangan Dewan Rakyat mengambil masa antara satu hingga dua bulan bagi setiap sesi dan komitmen tinggi diperlukan bagi setiap Ahli Parlimen.

"Saya cabar beliau (Ahmad Samsuri) untuk beritahu rakyat Terengganu dalam ucapan, berapa hari beliau boleh beri komitmen penuh untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat jika dilantik menjadi ahli Parlimen. Boleh penuh atau tak?

"Penting dalam hansard, kita boleh semak macam mana setiap perkara yang melibatkan nelayan, kebajikan dan pertanian (dengan) kebanyakannya datang daripada (kerajaan) Pusat.

"Kalau seorang Ahli Parlimen gagal menghadirkan diri, sudah tentu dia tertinggal untuk bawa suara rakyat sebab soalan-soalan tambahan ini akan menjadi polisi kepada kerajaan sendiri (dan) kalau ia silap, ia akan menjadi teguran untuk kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Haphiz berkata, calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah individu yang layak menjadi Ahli Parlimen Kemaman.

Katanya, kredibiliti dan disiplin tinggi yang ada pada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu melayakkan beliau menjadi wakil rakyat yang akan membawa suara rakyat.

"Dalam keluarga, yang menjadi tonggak sesuatu institusi itu sudah tentu ayah (dan) sepanjang bersama calon, kita dapat rasai sifat 'keayahan' dan 'kebapaan' Tan Sri.

"Saya kata sedemikian kerana sempat berbual dengan calon ketika lawatannya di kawasan (dan) beliau sendiri dengan penuh terbuka menyatakan sekiranya diberi peluang, keutamaan kepada anak muda," katanya.

Berita Harian X