Rabu, 22 November 2023 | 3:43pm
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Penolong Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani (kanan) bercakap kepada media sewaktu mengadakan sidang media khas di Bangi baru-baru ini.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Penolong Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani (kanan) bercakap kepada media sewaktu mengadakan sidang media khas di Bangi baru-baru ini.

Dua kumpulan individu cari Wahab di rumah - peguam

KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, yang terbabit kontroversi video tular dengan bekas ketua pengarahnya, tidak membantu siasatan polis ketika ini kerana bimbangkan keselamatan diri.

Peguamnya, Faizal Rahman, berkata ketika Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menggesa Wahab tampil membantu siasatan polis, anak guamnya bimbang dia "dicari" dua kumpulan individu di rumahnya.

"Satu kumpulan mendakwa sebagai anggota polis berpakaian biasa, tetapi mereka enggan menunjukkan kad kuasa.

"Kumpulan lain mendakwa dari parti politik. Kedua-dua kumpulan itu mencurigakan," katanya seperti dilaporkan oleh portal FMT.

Faizal berkata, sehingga kini identiti sebenar mereka yang mencari anak guamnya itu tidak diketahui.

Sebelum ini, klip video memaparkan perbualan lucah, seorang lelaki mirip bekas ketua pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dengan Wahab, selepas timbul spekulasi Agus akan melepaskan jawatannya.

Polis sedang menyiasat video itu yang mana Agus dan Wahab mendakwa ia disuai pinda.

Mohammad Agus berkata, beliau sudah mendedahkan kepada polis identiti individu di sebalik klip video itu – seorang digelar "Mr H".

Dia juga membuat laporan polis berhubung klip video penulis blog Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan laporan awal polis dan maklumat peribadinya.

Faizal juga dilaporkan oleh FMT sebagai berkata, Wahab tidak akan membuat laporan berhubung kumpulan yang mendekatinya sementara menunggu siasatan polis terhadap "Mr H" serta laporan kedua Agus mengenai kebocoran laporan asalnya.

Berita Harian X